Seorang pegawai di lapangan terbang paling sibuk di St. Louis menembak mati seorang lelaki yang mengacu pisau pada awal pagi Jumaat di luar pintu terminal, kata polis, lapor AP, tiada orang lain yang cedera.
Tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa St. Louis Lambert berlaku sekitar jam 1 pagi, jurucakap Polis Daerah St. Louis, Vera Clay dilapor berkata.
Kawasan itu terletak dekat laluan rel ringan yang mengangkut pengembara ke terminal dan tidak berada di belakang pusat pemeriksaan keselamatan, menurut peta lapangan terbang yang dipaparkan di laman webnya, lapor AP.
Laluan kereta api ke Terminal 1 ditutup seketika, dengan pengangkutan ulang-alik membawa orang dari tempat turun yang lain, tetapi dibuka semula lewat pagi Jumaat. Lapangan terbang tetap terbuka, menurut AP.
Clay dilapor berkata, pegawai telah menyedari lelaki itu, yang tidak dikenali, berada di kawasan yang tidak sepatutnya dan enggan pergi.
Lelaki itu dilaporkan menunjukkan sebilah pisau kepada pegawai apabila mereka cuba mengajaknya bergerak.
Pegawai dilaporkan menggunakan Tasers tetapi lelaki itu terus mara ke arah pegawai dan salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan, menyebabkan lelaki itu cedera membawa maut.























