Seorang wanita maut selepas sebuah Tesla, yang didakwa dalam mod pandu sendiri, merempuh sebuah rumah di negeri Texas, AS, menurut berita Anadolu memetik laporan media tempatan, memetik penyiasat.
Kejadian itu berlaku sekitar jam 8 malam waktu tempatan pada Jumaat (0100GMT Sabtu) di Katy, apabila sebuah Tesla Model 3, yang dipandu oleh Michael Butler, didakwa meninggalkan lorongnya, membelok keluar dari jalan raya, dan melanggar sebuah kediaman, Anadolu memetik laporan ABC News memetik pihak berkuasa sebagai berkata.
Menurut Pejabat Sherif Daerah Harris, Butler sedang mengendalikan kenderaan itu “dengan sistem bantuan pemanduan automatik” pada masa kemalangan itu, lapor Anadolu.
“Tesla Butler memasuki kediaman bata itu, pada kelajuan tinggi, dan melanggar M. Avila yang berada di dalam kediaman itu,” kata pejabat syerif dalam satu kenyataan, seperti dilaporkan.
Avila telah diterbangkan ke hospital tetapi kemudiannya disahkan meninggal dunia, kata penyiasat.
Pihak berkuasa dilapor berkata, Butler cedera dalam kemalangan itu tetapi tidak menunjukkan tanda mabuk dan telah bekerjasama dengan penyiasat.
Siasatan masih diteruskan dan tiada pertuduhan telah difailkan sehingga petang Sabtu, menurut Anadolu memetik laporan itu.



























