Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, pada Isnin memberi amaran bahawa sebarang serangan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran, tanpa mengira skop dan skalanya, akan dianggap sebagai tindakan pencerobohan dan disusuli dengan akibatnya, lapor berita Xinhua.
Menurut Xinhua, Baghaei membuat kenyataan itu pada sidang akhbar mingguan di Tehran.
Dia dilapor berkata, jika rundingan nuklear tidak langsung yang diperbaharui antara Iran dan AS membawa kepada perang, angkatan tentera Iran akan memberikan tindak balas sewajarnya dan bersedia sepanjang masa untuk mempertahankan negara.
Menurutnya, Angkatan Tentera Iran kekal berwaspada dan memantau perkembangan di samping rundingan diplomatik.
Menurut Xinhua, dia menyatakan Iran serius untuk meneruskan laluan diplomatik, sambil menambah bahawa Iran sedang merangka pendekatannya dan berharap untuk mengadakan pusingan rundingan baharu dengan AS dalam beberapa hari akan datang.
Sementara itu, Baghaei dilapor berkata Iran bersedia untuk mengadakan rundingan berterusan selama beberapa hari atau minggu, tetapi menjalankan rundingan dalam selang sepuluh hari atau dua minggu bukanlah pendekatan pilihan Iran.
Menurut Xinhua, agensi berita rasmi IRNA memetik diplomat itu sebagai berkata, “kami tidak mendapat manfaat dalam memanjangkan proses rundingan”.
Delegasi dari Iran dan AS telah mengadakan dua pusingan rundingan nuklear tidak langsung di Muscat, ibu negara Oman, dan Geneva awal bulan ini. Pusingan rundingan baharu dijangka berlangsung di Geneva pada Khamis.
Proses diplomatik yang diperbaharui itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara Iran-AS dan peningkatan ketenteraan AS di rantau Asia Barat.























