Lima rakyat Palestin, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh pada petang Rabu dalam serangan Israel ke atas pekan Beit Lahia di utara Jalur Gaza, kata sumber keselamatan dan perubatan Palestin, menurut berita Xinhua.
Sebuah dron Israel melepaskan peluru berpandu ke arah sekumpulan orang dekat Masjid Al-Qassam di Beit Lahia, sumber keselamatan dilapor berkata.
Menurut Xinhua, sumber perubatan di Hospital Al-Shifa di bandar Gaza memberitahunya bahawa hospital itu telah menerima mayat lima mangsa, termasuk tiga kanak-kanak, selain beberapa orang yang cedera dengan pelbagai tahap kecederaan.
Terdahulu pada Rabu, pihak berkuasa kesihatan yang berpangkalan di Gaza berkata dalam satu kenyataan bahawa hospital di kawasan itu telah menerima satu mayat dan empat orang yang cedera sejak 24 jam lalu.
Menurut kenyataan itu, sejak pengumuman gencatan senjata pada 10 Oktober 2025, 786 rakyat Palestin telah terbunuh dan 2,217 yang lain cedera akibat serangan Israel. Jumlah kematian sejak Oktober 2023 meningkat kepada 72,562, dengan 172,320 yang lain cedera.























