• Empat ditangkap di Israel dituduh intip untuk Iran

    Menurut Al Jazeera, laman Ynet News Israel melaporkan tiga orang askar dan seorang orang awam ditangkap kerana disyaki bekerja untuk perisikan Iran semasa mereka masih di bawah umur.

    Mereka dituduh oleh agensi keselamatan domestik Shin Bet dan polis Israel merakam lokasi sensitif, termasuk kemudahan latihan milik tentera udara Israel, tempat sesetengah daripada mereka belajar.

    Pihak berkuasa di Israel mengatakan beberapa daripada mereka menghubungi ejen Iran atas kehendak mereka sendiri.

    Mereka ditangkap pada Mac, lapor Al Jazeera memetik Ynet, tetapi dakwaan difailkan terhadap mereka oleh Pejabat Peguam Negara hari ini.

  • 7 maut, 23 cedera apabila bas terjunam ke dalam gaung di barat daya Pakistan

    Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan 23 yang lain cedera apabila sebuah bas penumpang terjunam ke dalam gaung di wilayah barat daya Balochistan, Pakistan, kata pegawai pada Jumaat, menurut berita Xinhua.

    Kemalangan itu berlaku pada Khamis di daerah Jhal Magsi apabila bas itu terbalik ke dalam anak sungai bermusim di lebuh raya M-8, kata seorang pegawai polis tempatan kepada Xinhua.

  • 5 maut, 30 cedera dalam kebakaran pusat beli-belah di Mexico

    Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan kira-kira 30 yang lain cedera pada Khamis dalam kebakaran di sebuah pusat beli-belah di barat laut Mexico, lapor media tempatan, memetik pihak berkuasa, menurut berita Xinhua.

    Kebakaran itu dilaporkan pada petang Khamis di Plaza Fiesta Las Palmas, sebuah pusat beli-belah di bandar Los Mochis, negeri Sinaloa.

  • Sistem pertahanan udara UAE bertindak balas terhadap ancaman peluru berpandu dan dron

    Sistem pertahanan udara Emiriah Arab Bersatu (UAE) bertindak balas terhadap ancaman peluru berpandu dan dron yang masuk dari Iran, kata Kementerian Pertahanan pada Jumaat, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada jam 6:40 pagi waktu tempatan (0240 GMT), kementerian itu berkata sistem pertahanan udara sedang aktif menyerang peluru berpandu dan dron yang masuk.

    Kementerian itu menambah bahawa bunyi yang kedengaran di seluruh bahagian negara adalah hasil daripada operasi pintasan dijalankan oleh sistem pertahanan udara.

    Pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk kekal di lokasi selamat dan mengikuti saluran rasmi untuk amaran dan kemas kini selanjutnya.

  • Jumlah kematian meningkat kepada 37 orang dalam letupan kilang bunga api di tengah China

    Letupan kilang bunga api pada Isnin di Wilayah Hunan, tengah China mengorbankan 37 orang dan menyebabkan seorang hilang, kata pihak berkuasa tempatan pada Jumaat, lapor Xinhua.

    Letupan itu berlaku sekitar jam 4:43 petang pada Isnin di kemudahan syarikat pembuatan dan pameran bunga api Huasheng di Liuyang, sebuah bandar peringkat daerah di bawah Changsha, ibu kota Hunan.

    Setakat jam 12 tengah hari pada Jumaat, kemalangan itu telah meragut 37 nyawa, menyebabkan seorang hilang, dan mencederakan 51 orang lain yang sedang menerima rawatan perubatan di hospital. Lima daripada yang cedera berada dalam keadaan kritikal tetapi mempunyai tanda-tanda vital yang stabil.

  • Itali kata roket mendarat di dalam pangkalan UNIFIL di Lubnan, tiada kecederaan dilaporkan

    Sebuah roket mendarat di dalam pangkalan Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di kawasan Shama Lubnan, yang menempatkan kontinjen Itali dalam misi itu, kata Kementerian Pertahanan Itali pada Khamis, menurut berita Anadolu.

    Menurut kementerian itu, asal-usul roket itu masih dalam siasatan.

    Tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan kakitangan Itali yang ditempatkan di pangkalan itu, manakala hanya kerosakan kecil dilaporkan pada kenderaan tentera.

    Menteri Pertahanan Itali Guido Crosetto sedang berhubung dengan Ketua Staf Pertahanan Jeneral Luciano Portolano, Komander Markas Operasi Bersama Leftenan Jeneral Giovanni Iannucci, dan komander kontinjen Itali di Lubnan untuk memantau perkembangan dengan teliti.

    “Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan asal-usul roket dan keadaan kejadian dengan tepat,” kenyataan dipetik sebagai berkata.

    UNIFIL, dilancarkan untuk memantau kawasan sempadan Israel-Lubnan, membabitkan 10,000 tentera dari pelbagai negara.

  • Iran mengesahkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas kapal pemusnah AS dekat Selat Hormuz

    Iran mengesahkan awal Jumaat, ia melancarkan serangan peluru berpandu dan dron berskala besar ke atas kapal pemusnah AS dekat Selat Hormuz, menurut berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, dalam satu kenyataan, Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata operasi itu berlaku selepas apa yang digambarkan sebagai pelanggaran gencatan senjata AS yang membabitkan serangan ke atas kapal tangki minyak Iran dekat pelabuhan Jask dan pendekatan kapal pemusnah AS ke arah laluan air strategik itu.

    Kenyataan itu dilapor berkata, pasukan Iran menjalankan “operasi gabungan berskala besar dan tepat” menggunakan peluru berpandu balistik, peluru berpandu jelajah anti-kapal dan dron letupan yang menyasarkan kapal pemusnah AS.

    Ia menambah bahawa penilaian risikan menunjukkan kapal AS mengalami “kerosakan ketara” dan tiga kapal pemusnah berundur dari kawasan Selat Hormuz.

    Menurut Anadolu, terdahulu, media Iran melaporkan pasukan tentera laut Iran menyasarkan tiga kapal pemusnah AS dekat Selat Hormuz menggunakan peluru berpandu dan dron berani mati selepas apa yang digambarkan sebagai serangan AS ke atas kapal tangki minyak Iran.

    Agensi Berita Tasnim dilapor berkata, kapal-kapal itu berundur ke arah Laut Oman, manakala penyiar Iran, IRIB melaporkan “unit musuh” yang disasarkan mengalami kerosakan dan terpaksa berundur.

  • Lebih 50 dron ke Moscow dilapor dipintas oleh Rusia

    Unit pertahanan udara Rusia memintas lebih 50 dron yang menuju ke Moscow dalam tempoh kira-kira 15 jam, menurut Datuk Bandar Sergei Sobyanin, lapor Reuters.

    Jumlah dron yang ditembak jatuh antara kira-kira jam 11 pagi (0800 GMT) pada Khamis dan 2 pagi Jumaat melebihi 50, kata Sobyanin dalam siri penghantaran panjang di Telegram yang mengumumkan pemintasan dron sepanjang Khamis, menurut agensi berita itu.

    Menurut Reuters, Kementerian Pertahanan Rusia, yang menyiarkan secara berasingan di Telegram, berkata 95 dron Ukraine telah dipintas dalam tempoh empat jam yang berakhir pada tengah malam di pelbagai wilayah di tengah dan selatan Rusia.

    Kementerian Pertahanan Rusia dilapor berkata, ia akan melaksanakan gencatan senjata selama tiga hari bermula tengah malam 7 Mei hingga 8 Mei hingga 10 Mei berkaitan dengan memperingati kemenangan Soviet ke atas Jerman Nazi dalam Perang Dunia Kedua.

  • Serangan Israel ke atas selatan Lubnan dilapor berterusan

    Tentera Israel menjalankan beberapa siri pengeboman dekat kampung Biyyada di selatan Lubnan, menurut berita Al Jazeera yang menurutnya dilaporkan rakan sekerjanya di lapangan.

    Serbuan udara Israel juga melanda pekan Houche, di selatan Lubnan.

  • Netanyahu kata pemimpin Hizbullah terbunuh tidak ada ‘imuniti’

    Benjamin Netanyahu dilapor mengulas mengenai pembunuhan Ahmad Balut, komander Unit Radwan elit Hizbullah, dalam serangan di pinggir bandar selatan Beirut pada Rabu.

    “Dia nampaknya baca dalam akhbar bahawa dia mempunyai kekebalan di Beirut. Jadi dia baca – dan itu tidak akan berlaku lagi,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan video, menurut laporan Al Jazeera.

    “Dia percaya dia boleh terus mengarahkan serangan terhadap pasukan dan komuniti kita dari ibu pejabat pengganas tersembunyinya di Beirut.”

    Netanyahu dilapor berkata, tentera Israel juga menyasarkan operatif Hamas di Gaza walaupun gencatan senjata diusahakan oleh AS berkuat kuasa di kedua-dua tempat.

    “Saya berkata kepada musuh kita dengan cara yang paling jelas: Tiada pengganas yang mempunyai imuniti. Sesiapa mengancam Israel mempertaruhkan nyawanya sendiri.”

  • Tentera Israel dakwa bunuh 220 anggota Hizbullah sejak ‘gencatan senjata’

    Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, mengeluarkan kenyataan bahawa tentera itu membunuh 220 pejuang Hizbullah sejak “gencatan senjata” pertengahan April yang diusahakan oleh Washington antara pegawai Israel dan Lubnan, menurut berita Al Jazeera.

    Sepanjang minggu lalu, pasukan Israel telah membunuh 85 anggota Hizbullah dan menyerang lebih 180 kemudahan tentera milik kumpulan itu, Al Jazeera memetik kenyataan itu.

  • Tentera Israel sahkan komander Pasukan Radwan Hizbullah terbunuh dalam serangan Beirut

    Tentera Israel berkata pada Khamis, Malek Balout, komander Pasukan Radwan elit Hizbullah, terbunuh dalam serangan udara di Beirut sehari sebelumnya, menurut berita Xinhua.

  • Askar Israel beri rokok pada mulut patung Kristian di Lubnan?

    Satu gambar muncul yang menunjukkan seorang askar Israel mencemarkan patung Perawan Maria (Virgin Mary) di selatan Lubnan, menurut berita Al Jazeera.

    Dalam foto itu, yang dikongsi di media sosial, askar terbabit dilihat menekan sebatang rokok ke mulut patung Perawan Maria di pekan Debel yang majoriti penduduknya beragama Kristian, lapor Al Jazeera.

    Debel adalah pekan yang sama di mana askar Israel memusnahkan patung Jesus Christ dengan tukul besi bulan lalu, menurut Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, saluran media The Times of Israel melaporkan bahawa tentera Israel berkata ia akan mengambil tindakan apabila askar terbabit dikenal pasti.

    Menurut saluran itu, imej terbaru yang muncul mengenai tindakan penodaan oleh pasukan Israel “bergabung dengan beberapa kejadian lain yang mana rakaman telah diterbitkan mengenai askar Israel – selalunya oleh tentera itu sendiri – memusnahkan atau menjarah harta benda”.

  • Tiga terbunuh di selatan Lubnan akibat serangan udara Israel

    Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan pekan Ansariyeh, di daerah Tyre di selatan Lubnan, menurut Al Jazeera memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA).

    Serangan udara itu turut mencederakan tujuh orang.

  • Tentera AS tembak kapal berbendera Iran di Teluk Oman

    Tentera AS berkata pesawat perang tentera lautnya di Teluk Oman menembak dan melumpuhkan kemudi kapal tangki minyak berbendera Iran yang cuba memecahkan sekatan AS ke atas pelabuhan Iran, lapor Al Jazeera.

    Ia berkata pasukan AS memberi amaran kepada kapal itu bahawa ia melanggar sekatan, tetapi krunya “gagal mematuhi amaran berulang kali” jadi sebuah F/A-18 Super Hornet AS “melumpuhkan kemudi kapal tangki dengan melepaskan beberapa das tembakan daripada meriam 20mm (nya)”, kata CENTCOM dalam satu catatan di X, menurut Al Jazeera.

    Ia menambah bahawa kapal yang mereka sasarkan “tidak lagi transit ke Iran”.

  • Tiga sekeluarga antara lima terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza

    Lima rakyat Palestin, termasuk seorang pegawai polis, terbunuh dan beberapa lagi cedera pada petang Rabu dalam serangan udara Israel yang menyasarkan perhimpunan awam dan kenderaan polis di utara dan selatan Gaza meskipun gencatan senjata, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.

    Seorang rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain, termasuk tiga kanak-kanak, cedera dalam serangan Israel ke atas sekumpulan orang awam di kawasan kejiranan al-Daraj di timur bandar Gaza, kata satu sumber, menurut laporan Anadolu.

    Sumber di Hospital Al-Ahli Arab memberitahu Anadolu, satu mayat dan beberapa orang yang cedera tiba di hospital selepas serangan menyasarkan rakyat Palestin dekat persimpangan stesen bas Jabalia di al-Daraj.

    Tiga lagi rakyat Palestin dari keluarga yang sama terbunuh dan yang lain cedera dalam serangan Israel yang menyasarkan sekumpulan orang awam di kawasan kejiranan Zeitoun, tenggara bandar Gaza, kata satu lagi sumber perubatan.

    Menurut Anadolu, saksi memberitahunya bahawa serangan itu melanda ahli keluarga terbabit dekat Masjid Salahuddin di Zeitoun semasa mereka cuba mendirikan khemah di kawasan itu.

    Di selatan Gaza, Kementerian Dalam Negeri berkata seorang anggota polis terbunuh dalam serangan Israel ke atas kenderaan polis di Khan Younis ketika ia melalui kawasan al-Mawasi yang sesak, yang dipenuhi dengan rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal. Beberapa orang yang berada di tempat kejadian cedera dalam serangan itu, kata saksi, menurut Anadolu.

  • Israel akan tangkap ‘setiap musuh dan pembunuh’ – Netanyahu

    Netanyahu mengesahkan serangan ke atas komander Pasukan Radwan Hizbullah di Beirut dan mengatakan bahawa dia dan Menteri Pertahanan Israel Katz telah mengarahkan tentera untuk melakukan serangan itu, menurut berita Al Jazeera.

    “Teroris Radwan bertanggungjawab menembak penempatan Israel dan mencederakan tentera IDF [Pasukan Pertahanan Israel]. Tiada teroris yang mempunyai imuniti – tangan panjang Israel akan menangkap setiap musuh dan pembunuh,” kata Netanyahu dalam catatan di Telegram, menurut Al Jazeera.

    “Kami berjanji untuk membawa keselamatan kepada penduduk utara – beginilah cara kami melakukannya dan beginilah cara kami akan melakukannya,” tambahnya.

  • Israel kata serangan ke atas pinggir bandar selatan Beirut menyasarkan komander Pasukan Radwan

    Pasukan Israel menyasarkan pinggir bandar selatan Beirut buat kali kedua hari ini, menyebabkan letupan kuat dan kerosakan meluas, menurut berita Al Jazeera.

    Tentera Israel mengesahkan serangan itu dan mengatakan ia menyasarkan seorang komander Pasukan Radwan Hizbullah.

  • Bahrain kata individu dikaitkan dengan IRGC ditangkap

    Kementerian Dalam Negeri Bahrain berkata bilangan orang yang tidak dinyatakan yang mempunyai “kaitan rapat” dengan IRGC Iran baru-baru ini telah ditangkap di negara itu, sesetengahnya disyaki dalam kes pengintipan, menurut berita Al Jazeera.

    Pengumuman itu dibuat selepas Bahrain berkata ia melucutkan kewarganegaraan 69 orang pada akhir April kerana didakwa menyokong serangan Iran ke atas negara itu. Ia menuduh orang-orang terbabit bersimpati dengan Iran dan “bersekongkol dengan entiti asing”.

  • Media Iran nafi pertukaran baharu AS, tolak laporan hampir capai persetujuan

    Iran berkata pada Rabu bahawa ia tidak bertukar-tukar sebarang mesej bertulis baharu dengan Amerika Syarikat (AS), menolak laporan bahawa kedua-dua pihak hampir mencapai persetujuan satu halaman untuk menamatkan permusuhan, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, agensi berita separa rasmi Fars menyifatkan laporan oleh Axios dan Reuters sebagai “rekaan”, dengan mengatakan ia direka untuk mempengaruhi pasaran global dan menurunkan harga minyak dan bukannya mencerminkan situasi di lapangan.

    Xinhua melaporkan, Fars memetik dua sumber yang tidak dinamakan, berkata Iran belum lagi memberi respons kepada mesej terkini AS, yang disampaikan melalui Pakistan.

    Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, berkata Tehran masih menyemak cadangan AS dan akan memberi respons selepas melengkapkan penilaiannya, menurut Xinhua memetik Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA).

    Minggu lalu, Iran menghantar cadangan balas 14 perkara kepada Washington melalui Pakistan sebagai tindak balas kepada rancangan sembilan perkara AS yang menggariskan syarat untuk menamatkan konflik, lapor Xinhua, Tehran kemudian mengesahkan ia telah menerima balasan daripada Washington.

    Menurut Xinhua, Ebrahim Rezaei, jurucakap jawatankuasa keselamatan negara dan dasar luar parlimen Iran, menulis di X bahawa Axios telah menerbitkan “senarai keinginan AS dan bukannya realiti”.

    Dia berkata, Iran tidak akan menerima tekanan dan memberi amaran mengenai “tindak balas keras” jika diserang atau diprovokasi.

    Axios melaporkan bahawa perjanjian yang berpotensi mungkin termasuk Iran bersetuju untuk menggantung pengayaan uranium sebagai pertukaran untuk pelepasan sekatan AS, dengan kedua-dua pihak melonggarkan sekatan ke atas perkapalan melalui Selat Hormuz, menurut berita Xinhua, tempoh sebarang jeda pengayaan masih dalam perbincangan, dengan cadangan antara lima hingga 20 tahun.

    Menurut Xinhua, secara berasingan, agensi berita Tasnim Iran melaporkan gangguan GPS yang meluas di Selat Hormuz untuk hari ketiga berturut-turut, dengan beberapa data pengesanan marin menunjukkan kapal kelihatan bergerak di darat.

    AS dan Israel dilapor menjalankan serangan bersama ke atas Tehran dan bandar-bandar lain di Iran pada 28 Februari lalu, membunuh pegawai kanan dan orang awam Iran, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ali Khamenei. Iran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel dan kepentingan AS di rantau itu dan mengetatkan kawalan ke atas Selat Hormuz.

    Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April. Rundingan antara delegasi Iran dan AS di Islamabad pada 11-12 April berakhir tanpa persetujuan. Selepas rundingan gagal, AS mengenakan sekatan ke atas selat terbabit.

  • Seorang dilapor terbunuh dalam serangan dron Israel di barat Khan Yunis

    Seorang warga Palestin terbunuh, dan yang lain cedera pada Rabu dalam bedilan Israel yang menyasarkan sebuah kenderaan di barat Khan Yunis di selatan Jalur Gaza, menurut berita WAFA.

    Koresponden WAFA melaporkan seorang maut dan beberapa warga yang cedera dibawa ke Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis selepas serangan dron menyasarkan sebuah kenderaan awam dekat Kolej Gunaan di barat bandar itu.

  • Dua maut dalam serangan Israel di Tyre, selatan Lubnan

    Dua mayat ditarik keluar oleh pasukan pertahanan awam di Tyre, selatan Lubnan, selepas serangan Israel menyasarkan sebuah kereta dekat Sekolah Menengah Al-Siraj, menurut berita Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan juga melaporkan serbuan Israel menyasarkan sebuah rumah di pekan Khirbet Selm, bersebelahan bangunan perbandaran.

  • Dua maut akibat tanah runtuh di Tapanuli Utara, Sumatera

    Pusat Kawalan Operasi Pengurusan Bencana Sumatra Utara (Pusdalops PB) mencatatkan dua kematian akibat tanah runtuh di Kabupaten Tapanuli Utara (Taput), lapor berita Antara.

    Satu laporan diterima di Medan pada Rabu menyatakan tanah runtuh itu disebabkan oleh hujan lebat di Daerah Pahe Julu, Desa Hubarat, pada 5 Mei.

    Pusdalops mencatatkan tiga mangsa akibat kejadian tragis itu; seorang terselamat dan dua maut, lapor Antara.

  • 5 dilapor terbunuh dalam serangan Israel di al-Saksakieh selatan Lubnan

    Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 15 orang cedera selepas serangan Israel ke atas pekan al-Saksakieh di selatan Lubnan, menurut berita Al Jazeera memetik laporan NNA.

  • Serangan Israel membunuh empat orang di timur Lubnan – kementerian kesihatan

    Serangan udara Israel di kampung Zellaya di barat Lembah Bekaa di timur Lubnan telah membunuh empat orang, termasuk dua wanita dan seorang lelaki tua, menurut Kementerian Kesihatan negara itu, lapor Al Jazeera.

    Lima orang lain, termasuk tiga kanak-kanak, cedera dalam serangan itu, tambah kementerian itu.

    Menurut Al Jazeera, secara berasingan, Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan melaporkan pasukan Israel melakukan pengeboman di kawasan Alma ash-Shaab dan Tayr Harfa di daerah Tyre.

    Agensi itu juga melaporkan pengeboman Israel yang menyasarkan Majdal Zoun, Bayt al-Sayyad dan pinggir al-Mansouri di selatan Tyre.