Iran mengesahkan awal Jumaat, ia melancarkan serangan peluru berpandu dan dron berskala besar ke atas kapal pemusnah AS dekat Selat Hormuz, menurut berita Anadolu.
Menurut Anadolu, dalam satu kenyataan, Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata operasi itu berlaku selepas apa yang digambarkan sebagai pelanggaran gencatan senjata AS yang membabitkan serangan ke atas kapal tangki minyak Iran dekat pelabuhan Jask dan pendekatan kapal pemusnah AS ke arah laluan air strategik itu.
Kenyataan itu dilapor berkata, pasukan Iran menjalankan “operasi gabungan berskala besar dan tepat” menggunakan peluru berpandu balistik, peluru berpandu jelajah anti-kapal dan dron letupan yang menyasarkan kapal pemusnah AS.
Ia menambah bahawa penilaian risikan menunjukkan kapal AS mengalami “kerosakan ketara” dan tiga kapal pemusnah berundur dari kawasan Selat Hormuz.
Menurut Anadolu, terdahulu, media Iran melaporkan pasukan tentera laut Iran menyasarkan tiga kapal pemusnah AS dekat Selat Hormuz menggunakan peluru berpandu dan dron berani mati selepas apa yang digambarkan sebagai serangan AS ke atas kapal tangki minyak Iran.
Agensi Berita Tasnim dilapor berkata, kapal-kapal itu berundur ke arah Laut Oman, manakala penyiar Iran, IRIB melaporkan “unit musuh” yang disasarkan mengalami kerosakan dan terpaksa berundur.




























