Lima rakyat Palestin, termasuk seorang pegawai polis, terbunuh dan beberapa lagi cedera pada petang Rabu dalam serangan udara Israel yang menyasarkan perhimpunan awam dan kenderaan polis di utara dan selatan Gaza meskipun gencatan senjata, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.
Seorang rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain, termasuk tiga kanak-kanak, cedera dalam serangan Israel ke atas sekumpulan orang awam di kawasan kejiranan al-Daraj di timur bandar Gaza, kata satu sumber, menurut laporan Anadolu.
Sumber di Hospital Al-Ahli Arab memberitahu Anadolu, satu mayat dan beberapa orang yang cedera tiba di hospital selepas serangan menyasarkan rakyat Palestin dekat persimpangan stesen bas Jabalia di al-Daraj.
Tiga lagi rakyat Palestin dari keluarga yang sama terbunuh dan yang lain cedera dalam serangan Israel yang menyasarkan sekumpulan orang awam di kawasan kejiranan Zeitoun, tenggara bandar Gaza, kata satu lagi sumber perubatan.
Menurut Anadolu, saksi memberitahunya bahawa serangan itu melanda ahli keluarga terbabit dekat Masjid Salahuddin di Zeitoun semasa mereka cuba mendirikan khemah di kawasan itu.
Di selatan Gaza, Kementerian Dalam Negeri berkata seorang anggota polis terbunuh dalam serangan Israel ke atas kenderaan polis di Khan Younis ketika ia melalui kawasan al-Mawasi yang sesak, yang dipenuhi dengan rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal. Beberapa orang yang berada di tempat kejadian cedera dalam serangan itu, kata saksi, menurut Anadolu.




























