Letupan kilang bunga api pada Isnin di wilayah Hunan, tengah China menyebabkan 26 orang terbunuh dan 61 yang lain cedera, kata pihak berkuasa pada sidang akhbar pada Selasa, lapor Xinhua.
Chen Bozhang, Datuk Bandar Changsha, mengucapkan takziah kepada mangsa dan memohon maaf kepada keluarga mereka, penduduk terjejas, dan masyarakat secara keseluruhan.
“Kami amat berdukacita dan penuh dengan rasa kesal,” katanya.
Sebelum sidang akhbar, hadirin bertafakur untuk mangsa.
Letupan itu berlaku sekitar jam 4:43 petang Isnin di kilang syarikat pembuatan dan pameran bunga api Huasheng di Liuyang, sebuah bandar peringkat daerah di bawah Changsha, ibu kota Hunan.
Setakat ini, kerja menyelamat hampir selesai, dan penunjuk alam sekitar daripada pemantauan udara dan air secara langsung adalah normal.
Orang yang bertanggungjawab ke atas syarikat itu telah ditahan oleh polis dan punca kemalangan itu sedang disiasat.
Semua perusahaan pengeluaran bunga api di Liuyang telah menghentikan pengeluaran dan sedang menjalani pembetulan, menurut sidang akhbar itu, lapor Xinhua.
Liuyang ialah hab pembuatan bunga api yang terkenal di China.