Seorang wanita warga asing dilaporkan maut selepas terjun dari kawasan luar balkoni Aras 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang, Malaysia.
BH Online melaporkan, ketua polis daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi, berkata kejadian jam 2.20 petang apabila wanita berusia 27 tahun itu dilihat duduk di kawasan luar balkoni Aras 3 dalam keadaan menangis dan menjerit secara agresif.
“Petugas dan pengawai keselamatan cuba menenangkan wanita terbabit, namun tidak berjaya sehingga seorang anggota keselamatan KLIA cuba mendekati untuk menyelamatkannya.
“Namun wanita terbabit bertindak meronta dan terjun ke kawasan Loading Bay KLIA2,” katanya menerusi kenyataan, menurut BH Online.
Ravi dilapor berkata, pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian memberi rawatan kecemasan dan wanita terbabit dibawa ke Hospital Putrajaya bagi rawatan lanjut.
Dilaporkan, kira-kira jam 5 petang, pihak Hospital Putrajaya mengesahkan wanita terbabit sudah meninggal dunia.
“Semakan mendapati wanita terbabit adalah warganegara China berusia 27 tahun dan dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke China pada 2 Mei.
“Punca kejadian masih lagi dalam siasatan polis. Siasatan dijalankan mengikut Prosedur Kematian Mangejut (SDR),” dia dilapor berkata.



























