Kapal pengangkut pesawat terbesar di dunia, USS Gerald R Ford, sekali lagi memasuki perairan Timur Tengah, lapor AP memetik dua pegawai pertahanan memberitahunya.
Kapal Ford, yang sehingga baru-baru ini beroperasi di Mediterranean Timur, transit Terusan Suez, bersama-sama dengan sepasang kapal pemusnah, USS Mahan dan USS Winston S Churchill, dan kini beroperasi di Laut Merah, kata seorang pegawai.
Kedua-duanya bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan untuk membincangkan operasi ketenteraan yang sensitif, lapor AP.
Kapal Ford kembali ke Laut Merah selepas lebih sebulan di Mediterranean susulan kebakaran besar di ruang dobi yang memaksa kapal itu kembali ke pelabuhan untuk dibaiki dan menyebabkan 600 kelasi kehilangan tempat tidur.
Kapal pengangkut itu juga memecahkan rekod untuk penggunaan kapal pengangkut pesawat paling lama sejak perang Vietnam minggu ini.
Ketibaan Ford menjadikannya kapal pengangkut pesawat kedua di rantau itu selain USS Abraham Lincoln di Laut Arab.
USS George H W Bush juga menuju ke rantau itu dan kini berada di luar pantai Afrika Selatan, lapor AP memetik seorang pegawai pertahanan.























