Pengendali tenaga nuklear milik kerajaan Ukraine, Energoatom, pada Ahad menuduh Rusia menyerang kemudahan penyimpanan bahan api nuklear terpakainya dekat loji janakuasa Chornobyl yang tidak digunakan, lapor Xinhua.
Menurut Energoatom, serangan dron berlaku sekitar jam 2:10 pagi waktu tempatan (2310 GMT Sabtu), memusnahkan sebahagian bangunan penerima kontena kemudahan terbabit.
Agensi itu berkata, tiada bahan api nuklear terpakai disimpan dalam struktur yang rosak.
Kebakaran yang meliputi kawasan seluas kira-kira 40 meter persegi telah dikawal dan dipadamkan sepenuhnya dengan segera. Tiada korban jiwa dalam kalangan kakitangan dilaporkan.
Setakat pagi Ahad, tahap radiasi di tapak kemudahan kekal dalam had normal.
Rusia belum memberi respons terhadap dakwaan serangan ke atas kemudahan itu, yang terletak sekitar 15 km dari loji Chornobyl, tapak salah satu bencana nuklear terburuk dalam sejarah manusia, menurut Xinhua.



























