Presiden Donald Trump dan pegawai dalam pentadbirannya berkemungkinan menjadi sasaran suspek yang melepaskan tembakan ke arah ejen keselamatan yang mengawal majlis makan malam Persatuan Koresponden Rumah Putih di Washington, kata Pemangku Peguam Negara AS, Todd Blanche, pada Ahad, lapor Reuters.
Lelaki terbabit melepaskan tembakan ‘shotgun’ ke arah ejen Perkhidmatan Rahsia di pusat pemeriksaan keselamatan di hotel Washington Hilton sebelum dicegat dan ditangkap.
Trump dan wanita pertama Melania Trump bergegas keluar dari majlis makan malam itu.
“Nampaknya dia, sebenarnya, telah menyasarkan orang yang bekerja dalam pentadbiran, kemungkinan termasuk presiden,” kata Blanche kepada “Meet the Press” NBC News, sambil menambah bahawa suspek kemungkinan menaiki tren dari Los Angeles ke Chicago dan kemudian ke Washington.
Suspek akan didakwa di mahkamah persekutuan pada Isnin atas tuduhan menyerang seorang pegawai persekutuan, melepaskan tembakan senjata api dan cuba membunuh seorang pegawai persekutuan, kata Blanche menurut laporan Reuters, sambil menambah dia tidak tahu sama ada terdapat kaitan Iran kepada serangan itu.























