Tentera AS memindahkan 19 anggota yang cedera pada Khamis dari Timur Tengah ke Jerman ketika ketegangan serantau terus meningkat disebabkan oleh operasi ketenteraan bersama AS-Israel ke atas Iran, menurut berita Anadolu.
Menurut Anadolu, CBS News memetik sumber melaporkan bahawa pesawat itu terbang dari Arab Saudi, berhenti di Oman dan mendarat di pangkalan AS di Jerman dekat sebuah hospital tentera.
Dua mangsa yang dipindahkan cedera apabila sebuah dron meletup dekat kenderaan mereka, kata laporan itu.
Tentera sebelum ini memindahkan berpuluh-puluh anggota perkhidmatan yang cedera dalam serangan ke atas kemudahan AS di Kuwait yang mengorbankan enam orang.
Kira-kira 20 orang tiba pada Selasa di Pusat Perubatan Wilayah Landstuhl di Jerman dengan kecederaan serius termasuk trauma otak, melecur dan luka serpihan, sumber memberitahu CBS News.
Walau bagaimanapun, Landstuhl enggan mengulas kepada CBS News mengenai pemindahan pada Khamis.
Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah serangan AS dan Israel ke atas Iran yang dilancarkan pada 28 Feb lalu yang telah mengorbankan kira-kira 1,300 orang, termasuk beberapa pegawai tertinggi.
Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Iraq dan negara-negara Teluk yang menjadi tuan rumah kepada aset ketenteraan AS.























