Pasukan SAR gabungan mengatakan 85 mayat mangsa tanah runtuh di Desa Pasirlangu, Kecamatan Cisarua, Kabupaten Bandung Barat, sudah dipindahkan pada hari ke-11 operasi pencarian, menurut laporan berita Antara.
Ketua Pejabat SAR Bandung, Ade Dian Permana, menyatakan dengan jumlah penemuan 85 beg mayat, 68 mangsa telah dikenal pasti oleh pasukan Pengenalpastian Mangsa Bencana (DVI).
“Setakat hari ini, jumlah mangsa yang dapat dipindahkan berjumlah 85 beg mayat,” kata Ade di Bandung Barat pada Rabu.
Menurut data DVI, dia berkata, 68 mangsa telah dikenal pasti, manakala 17 beg mayat masih menjalani pengecaman lanjut.
Dia mengatakan, keadaan cuaca agak cerah berawan menyumbang kepada kelancaran operasi, sambil mengutamakan keselamatan semua kakitangan terbabit.
Ade mengatakan pihaknya juga memberikan suntikan vaksin dan vitamin kepada pasukan SAR gabungan bertugas mencari mangsa tanah runtuh bagi mencegah terdedah kepada virus dan bakteria yang berpotensi berasal dari bahan tanah runtuh dan mayat mangsa.
“Jadi, kami menerima bantuan daripada Kementerian Kesihatan dan Pejabat Kesihatan berhubung kesihatan pasukan SAR gabungan. Ertinya ada vitamin, vaksin diberikan, dan ini sangat penting untuk pencari,” kata Ade.























