Sistem pertahanan udara Patriot yang ditugaskan oleh NATO untuk menyokong ruang udara Turkiye telah dikerahkan ke wilayah timur Malatya dan sedang disediakan untuk kesediaan operasi, kata kementerian pertahanan negara pada Selasa, menurut berita Xinhua.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di X, kementerian itu mengesahkan NATO telah memperkukuhkan langkah pertahanan udara dan peluru berpandunya, melengkapi langkah pertahanan negara Turkiye.
“Sebagai sebahagian daripada rangka kerja ini, sistem Patriot kini berada di Malatya dan sedang disediakan untuk kesediaan operasi bagi menyokong perlindungan ruang udara kita,” kata kenyataan itu.
Malatya menempatkan pangkalan radar Kurecik, sebuah kemudahan amaran awal yang merupakan sebahagian daripada sistem pertahanan peluru berpandu balistik NATO.
Kementerian itu menambah bahawa Turkiye akan terus menilai perkembangan dalam penyelarasan dan perundingan dengan NATO dan sekutunya. Ia juga mengesahkan semula komitmen negara terhadap keamanan dan kestabilan serantau.
Langkah itu susulan pemintasan peluru berpandu yang didakawa dilancarkan dari Iran ke wilayah Gaziantep di tenggara Turkiye pada Isnin. Peluru itu dineutralkan oleh aset pertahanan udara dan peluru berpandu NATO yang dikerahkan di Mediterranean Timur, tanpa sebarang korban jiwa dilaporkan.
Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan serantau yang memuncak susulan serangan bersama AS-Israel ke atas Iran bermula 28 Feb, yang mana Iran membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel dan aset AS di Timur Tengah.























