Seorang wanita terbunuh akibat serpihan bom susulan serangan ke atas depot senjata milik kumpulan bersenjata disokong Iran di Iraq, kata pegawai kesihatan dan keselamatan kepada agensi berita AFP, menurut Aljazeera.
Sumber keselamatan berkata “pengeboman menyasarkan depot senjata di pangkalan tentera”, yang kebanyakannya menempatkan kumpulan Asaib Ahl al-Haq yang berkuasa, dekat pekan Al-Suwaira, tenggara Baghdad.
Sumber itu menambah bahawa “seorang wanita syahid apabila serpihan bom daripada roket jatuh dekatnya selepas serangan” di pekan di wilayah Wasit. Seorang pegawai kesihatan tempatan mengesahkan kematiannya dan berkata seorang lagi cedera parah.
Pangkalan tentera itu milik Hashd al-Shaabi, atau Pasukan Mobilisasi Popular, bekas gabungan separa tentera yang kini diintegrasikan ke dalam tentera tetap Iraq. Ia juga merangkumi briged daripada kumpulan disokong Iran, termasuk Asaib Ahl al-Haq yang disenaraihitamkan oleh AS.























