Unit pengawal pantai di bandar Zuwara, barat Libya, 120 km barat Tripoli, mengumumkan pada Selasa, pelabuhan perikanan Zuwara dan kawasan Abu Kammash telah dilanda serangan udara baharu pada petang Isnin, berita Xinhua melaporkan.
Xinhua melaporkan, dalam satu kenyataan ringkas disiarkan di halaman Facebook rasminya, unit itu berkata serangan itu menyasarkan tapak di pelabuhan dan kawasan pantai berdekatan, tanpa memberikan butiran lanjut.
Perkembangan itu dilaporkan berlaku beberapa hari selepas Kementerian Pertahanan Kerajaan Perpaduan Negara mengumumkan ia telah menjalankan serangan udara terhadap tapak yang didakwa digunakan untuk “aktiviti penyeludupan” di barat laut Libya, termasuk pelabuhan di Zuwara.
Zuwara merupakan rumah kepada salah satu pelabuhan perikanan paling aktif di Libya, yang sering dituduh oleh pihak berkuasa di Tripoli sebagai digunakan untuk penyeludupan bahan api dan manusia.























