Tiga orang, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan pada Isnin, menandakan pelanggaran baharu perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak akhir 2024, menurut berita Anadolu memetik laporan media Lubnan.
Serangan itu menyasarkan sebuah kenderaan di tengah pekan Yanooh di daerah Tyre, lapor Anadolu memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA) dikendalikan kerajaan.
Pelanggaran gencatan senjata Israel pada November 2024 telah membunuh dan mencederakan ratusan rakyat Lubnan, sementara Israel terus menduduki lima puncak bukit Lubnan yang dirampas semasa perang terbaru, selain kawasan Lubnan lain yang telah dipegangnya selama beberapa dekad, menurut Anadolu.
Israel memulakan operasi ketenteraan terhadap Lubnan pada Oktober 2023 dan meningkatkannya menjadi perang berskala penuh pada September 2024, membunuh lebih 4,000 orang dan mencederakan kira-kira 17,000 yang lain.
Pegawai Lubnan telah berulang kali meminta tekanan ke atas Tel Aviv untuk menghentikan serangannya dan mematuhi syarat gencatan senjata, sementara Hizbullah telah menegaskan lebih daripada satu kali komitmennya terhadap gencatan senjata, menyeru pengunduran dari kawasan yang diduduki oleh Israel semasa perang terakhir.
























