Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 10 yang lain cedera dalam kejadian tembakan di pekan Bekkersdal dekat Johannesburg, bandar dan hab ekonomi terbesar di Afrika Selatan, lapor Xinhua memetik polis tempatan pada Ahad.
Kejadian itu berlaku sejurus sebelum jam 1 pagi waktu tempatan (2300 GMT Sabtu), menurut kenyataan daripada Perkhidmatan Polis Afrika Selatan.
“Dilaporkan bahawa kira-kira 12 suspek yang tidak dikenali menaiki sebuah kombi putih dan sebuah sedan perak melepaskan tembakan ke arah pelanggan kedai minuman dan meneruskan menembak secara rawak ketika mereka melarikan diri dari tempat kejadian,” kata kenyataan itu.
Sementara Anadolu melaporkan, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 10 yang lain cedera dalam kejadian tembakan di kedai minuman itu, memetik polis Afrika Selatan.
Menurut Anadolu, South African Broadcasting Corp (SABC) News melaporkan serangan itu berlaku di KwaNoxolo di bahagian Tambo.























