Sekurang-kurangnya 20 orang awam terbunuh dan 34 yang lain cedera pada Isnin dalam dua serangan dron berasingan oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera di tengah dan barat Sudan, berita Xinhua memetik laporan kumpulan sukarelawan.
Serangan itu menyasarkan perhimpunan awam di negeri tengah, Kordofan Utara dan sebuah hospital kanak-kanak di negeri barat, Darfur Utara, menurut kumpulan sukarelawan.
“RSF menyasarkan kawasan Al-Lulib, kira-kira 15 km di timur El Obeid, ibu kota Kordofan Utara, dengan dron hari ini (Isnin), membunuh 13 orang awam dan mencederakan 29 yang lain, sebahagian daripadanya berada dalam keadaan kritikal,” Jawatankuasa Penentangan Kordofan Utara, sebuah kumpulan sukarelawan dilapor berkata dalam satu kenyataan.
Seorang saksi mata dari kawasan itu dilapor memberitahu Xinhua: “Serangan itu menyasarkan perhimpunan awam yang besar yang diadakan untuk mengucapkan takziah, mengakibatkan sejumlah besar kematian dan kecederaan.”
Menurut Xinhua, dalam satu lagi kejadian, Rangkaian Doktor Sudan, satu lagi kumpulan sukarelawan, melaporkan sebuah dron RSF telah menyerang hospital kanak-kanak di kawasan Kornoi di Darfur Utara, mengakibatkan kematian orang awam.
Kumpulan itu dilapor berkata, tujuh warganegara, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh dan lima yang lain cedera parah.
Ia menambah bahawa dua kanak-kanak sedang menerima rawatan di dalam hospital pada masa serangan itu.
Rangkaian itu menganggap RSF bertanggungjawab sepenuhnya atas serangan itu, menggesa komuniti antarabangsa dan organisasi hak asasi manusia untuk mengutuk serangan tersebut dan mengambil langkah segera untuk melindungi orang awam.
Pertempuran telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini di seluruh negeri Darfur dan Kordofan antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan RSF, susulan penawanan semula beberapa bandar strategik oleh RSF, termasuk Bara di Kordofan Utara dan El Fasher, ibu kota Darfur Utara.
RSF masih belum mengulas mengenai serangan dilaporkan, lapor Xinhua.
Sudan masih diliputi konflik dahsyat antara SAF dan RSF, yang meletus pada April 2023.
Perang itu dikatakan telah mengorbankan puluhan ribu orang dan menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal, sekali gus menjerumuskan negara itu lebih dalam ke dalam krisis kemanusiaan.























