Empat orang terbunuh dan 40 lagi cedera dalam serangan dron Ukraine yang menyasarkan bangunan pendidikan dan asrama pelajar di wilayah Luhansk awal Jumaat, kata Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Rusia, Yana Lantratova, lapor Xinhua.
Kementerian Kecemasan Rusia dilapor berkata, serangan dron berskala besar semalaman melanda kampus Kolej Starobelsk, yang bersekutu dengan Universiti Pedagogi Luhansk, menyebabkan runtuhan bangunan asrama pelajar.
Seramai 86 pelajar berusia 14 hingga 18 tahun, bersama seorang kakitangan, berada di dalam bangunan itu pada masa serangan, lapor Xinhua.
Empat puluh orang telah mendapatkan bantuan perubatan susulan serangan itu, termasuk 14 kanak-kanak bawah umur, kata Menteri Kesihatan wilayah Natalia Paschenko kepada media tempatan, menurut Xinhua.
“Bangunan lima tingkat itu runtuh ke tingkat dua,” kata Svetlana Petrenko, jurucakap Jawatankuasa Siasatan Rusia, menurut Xinhua.
Dia dilapor berkata, empat dron terbabit dalam serangan ke atas premis pentadbiran dan asrama kolej itu.



























