Banjir kilat yang disebabkan oleh ribut di utara Maghribi mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang ketika negara itu bergelut dengan hujan lebat selama beberapa hari dan pelepasan air dari empangan yang terlalu penuh memaksa pemindahan besar-besaran, kata pihak berkuasa tempatan pada Ahad, menurut laporan AP.
Tiga kanak-kanak — seorang perempuan dan dua lelaki berumur 2 hingga 14 tahun — dan seorang lelaki berusia 30-an maut dalam sebuah kereta yang dihanyutkan di sebuah kampung dekat Tetouan, kira-kira 270 kilometer (168 batu) di utara ibu negara Rabat, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri yang memetik pihak berkuasa tempatan, lapor AP, seorang lagi masih hilang.
Pihak berkuasa tempatan dilapor berkata, mereka akan membuka siasatan terhadap apa yang berlaku.
Banjir kilat itu disebabkan oleh sistem ribut yang dikenali sebagai Marta, yang bergerak ke Maghribi pada hujung minggu dan menurunkan sehingga 92 milimeter (3.6 inci) hujan di beberapa bandar utara, kata Houssine Youabed dari Direktorat Meteorologi Am Maghribi, menurut AP, ribut Marta juga melanda Sepanyol dan Portugal.
Beberapa hari sebelumnya, satu lagi ribut, Leonardo, melanda utara Afrika dan semenanjung Iberia. Di Maghribi, ia melimpahkan empangan dan sungai, merosakkan rumah dan tanaman, mencetuskan tanah runtuh kecil dan memaksa lebih 150,000 orang berpindah.
Cuaca yang bergelora itu juga telah menjamin bekalan air minuman sekurang-kurangnya setahun untuk Maghribi dan meningkatkan sumber untuk sektor pertanian kritikal negara itu, kata para pegawai, memberikan kelegaan selepas kemarau selama bertahun-tahun.























