Keganasan tercetus di beberapa bahagian Guatemala pada pagi Ahad selepas pasukan keselamatan Guatemala menguasai semula penjara yang telah diambil alih oleh banduan, dan menahan seorang ketua geng utama, kata agensi polis awam negara itu, lapor Reuters.
Pihak berkuasa menguasai semula Renovacion 1, dekat pekan selatan Escuintla, salah satu daripada tiga penjara tempat banduan merusuh dan menjadikan tebusan pada Sabtu, menuntut keistimewaan yang lebih besar untuk ketua geng mereka, menurut Reuters.
Agensi itu juga berkata pihak berkuasa telah menahan Aldo Duppie, alias El Lobo, yang dilaporkan secara meluas sebagai ketua tertinggi dalam geng Barrio 18, lapor Reuters.
Imej yang disediakan oleh polis awam menunjukkan pegawai mengiringi El Lobo, yang kelihatan berdarah di bahu, keluar dari penjara, lapor Reuters, tidak lama selepas itu, serangan serentak terhadap pegawai polis tercetus di dan sekitar ibu kota Bandar Guatemala.
Sekurang-kurangnya tujuh pegawai polis telah terbunuh dalam pelbagai serangan, manakala seorang ahli geng telah terbunuh, Menteri Dalam Negeri Marco Antonio Villeda memberitahu pemberita pada Ahad, menurut laporan Reuters, sepuluh pegawai polis telah cedera.
Menteri itu dilapor berkata, kerajaan tidak akan berunding dengan anggota geng.
“Saya tidak membuat pakatan dengan geng. Saya komited sepenuhnya untuk menegakkan kedaulatan undang-undang,” kata menteri itu.
“Kami telah bercakap dengan Presiden Bernardo Arevalo, dan operasi bersama dengan tentera akan dilancarkan untuk mengamankan pusat bandar dan menjamin keselamatan awam,” tambah Villeda.
Menteri pendidikan Guatemala membatalkan kelas sekolah di seluruh negara pada Isnin, manakala pegawai Bandar Guatemala membatalkan aktiviti rekreasi dan kebudayaan yang dijadualkan pada Ahad, menurut Reuters.
“Sebagai tindak balas kepada cadangan pakar keselamatan, saya telah memutuskan untuk menggantung kelas di seluruh negara esok. Pada masa ini, perkara yang paling penting ialah keselamatan pelajar dan guru,” kata Menteri Pendidikan Anabella Giracca.
Pembebasan tebusan yang ditahan di penjara itu menyebabkan 37 tebusan masih ditahan di dua penjara lain, menurut laporan Reuters.
Kongres Guatemala mengisytiharkan Barrio 18 sebagai kumpulan pengganas pada Oktober 2025, sejurus selepas pentadbiran Presiden AS Donald Trump mengklasifikasikan kumpulan itu sebagai organisasi pengganas asing.
Ketuanya, El Lobo, kini menjalani hukuman penjara berjumlah kira-kira 2,000 tahun, lapor Reuters, dia berkahwin dengan anak saudara perempuan Sandra Torres, bekas wanita pertama Guatemala yang telah menjadi naib juara dalam tiga pilihan raya presiden, yang terbaru menduduki tempat kedua selepas presiden semasa Arevalo pada 2023.























