Beratus-ratus penunjuk perasaan pro-Palestin berkumpul di Stockholm pada Sabtu untuk membantah pelanggaran gencatan senjata Israel di Gaza dan sekatan bantuan kemanusiaan, lapor berita Anadolu.
Menjawab seruan daripada pelbagai organisasi masyarakat sivil, peserta protes berkumpul di Dataran Odenplan sebelum berarak menuju ke parlimen.
Para peserta mengutuk serangan Israel yang diperbaharui di Gaza meskipun gencatan senjata telah berkuat kuasa pada Oktober 2025 dan mengkritik sekatan kemasukan bantuan kemanusiaan.
Membawa sepanduk yang tertulis “Tamatkan pendudukan di Palestin dengan segera”, “Tamatkan genosid dan sekatan”, “Biarkan bantuan kemanusiaan masuk” dan “Israel mesti patuhi perjanjian damai”, penunjuk perasaan menggesa kerajaan Sweden untuk mengenakan sekatan ketenteraan yang komprehensif ke atas Israel.
Aktivis Sweden, Karen Wild dilapor berkata, doa menyertai perhimpunan itu untuk mengetengahkan penderitaan rakyat Palestin.
“Ini adalah genosid yang berlaku di hadapan kita, distrim secara langsung di semua skrin. Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa ini adalah genosid dan apa yang sedang berlaku,” dia dilapor berkata kepada Anadolu.
Wild berkata, Israel gagal menghormati perjanjian damai dan menekankan bahawa semua kanak-kanak harus dilayan sama rata.
“Setiap kanak-kanak Palestin bernilai sama seperti kanak-kanak Sweden, Jerman atau Perancis. Tidak kira dari mana mereka datang. Seorang kanak-kanak tetap seorang kanak-kanak,” katanya.
“Kanak-kanak kesejukan dan mati kelaparan. Mereka menggelarnya sebagai ‘gencatan senjata’, tetapi saya menggelarnya sebagai ‘genosid’.”
























