Beberapa pesawat pengangkutan tentera Amerika dikesan mendarat dan berlepas dari pangkalan udara AS di Korea Selatan sejak seminggu lalu, mencetuskan spekulasi bahawa Pasukan AS Korea mungkin akan mengerahkan beberapa asetnya seperti pertahanan peluru berpandu Patriot ke Timur Tengah di tengah-tengah konflik yang hangat di rantau itu, menurut berita Anadolu memetik laporan media tempatan pada Ahad.
Menurut laman web pengesanan penerbangan masa nyata Flightradar24, pesawat pengangkutan AS C-5 dan C-17 mendarat di Pangkalan Udara Osan di selatan Seoul lewat bulan lalu dan berlepas antara Rabu dan Sabtu, lapor Anadolu memetik Yonhap News.
Sekurang-kurangnya dua pesawat C-5 tiba di pangkalan udara pada akhir Februari dan dikesan berlepas pada Sabtu, 28 Feb dan Isnin berikutnya, manakala pesawat C-17 berlepas antara Selasa dan Sabtu, 7 Mac, dengan enam disahkan menuju ke Anchorage di negeri Alaska, AS.
Perkembangan terbaru ini telah mencetuskan spekulasi bahawa Pasukan AS Korea mungkin sedang bersedia untuk memindahkan sistem pertahanan peluru berpandu Patriot, kerana ia diketahui baru-baru ini telah memindahkan sesetengah bateri Patriot ke Pangkalan Udara Osan dari pangkalan Amerika yang lain.
Jun (tahun) lalu, sekurang-kurangnya dua bateri Patriot telah dikerahkan ke Timur Tengah apabila AS menjalankan serangan ke atas kemudahan nuklear Tehran, sebelum ia dikembalikan ke Korea Selatan pada Oktober, lapor Anadolu.
Pasukan AS Korea dan kementerian pertahanan Seoul enggan mengulas mengenai langkah itu, dengan mengatakan adalah tidak wajar untuk mengulas mengenai operasi tentera.























