Pengurus Manchester City menggesa peminat untuk menunjukkan sokongan mereka untuk perlawanan Selasa depan di Barcelona antara pasukan bola sepak Catalonia dan Palestin, menyifatkan perlawanan itu sebagai “lebih daripada sekadar satu permainan” tetapi juga simbol, lapor Anadolu.
Dalam video Instagram yang disiarkan pada Khamis, Pep Guardiola dilaporkan menyifatkan Barcelona, ibu kota wilayah autonomi Catalonia, sebagai “bandar keamanan” dan menekankan kepentingan simbolik perlawanan persahabatan itu.
Dia dilapor berkata, pertemuan itu mewakili seruan kolektif untuk solidariti dan berfungsi sebagai penghormatan kepada lebih 400 atlet Palestin yang terkorban di Gaza sejak Oktober 2023.
“Barcelona, kota damai, menjadi tuan rumah … (18 Nov) Selasa perlawanan antara Pasukan Kebangsaan Catalan dan Pasukan Kebangsaan Palestin di Stadium Olimpik,” tulis Guardiola, bekas pemain bola sepak yang dilahirkan di Catalonia.
“Ia lebih daripada permainan, ia adalah seruan untuk solidariti, sebagai penghormatan kepada lebih 400 atlet Palestin yang telah dibunuh di Gaza. Mari penuhi stadium!”
Perlawanan itu yang dianjurkan dengan tujuan untuk menggalakkan perpaduan dan meningkatkan kesedaran tentang situasi kemanusiaan di Gaza, dijangka menarik ribuan penyokong.
Pegawai dan organisasi sukan telah menekankan kepentingan menggunakan sukan sebagai platform untuk memperjuangkan keamanan dan maruah manusia.
Anadolu melaporkan, menurut Jawatankuasa Olimpik Palestin dan Persatuan Bola Sepak Palestin, kira-kira 400 atlet telah terbunuh antara 7 Oktober 2023 dan Julai lalu, termasuk 245 pemain bola sepak, antaranya 69 kanak-kanak dan 176 pemuda.
Dalam beberapa bulan selepas itu, jumlah kematian mungkin meningkat lebih tinggi.
























