Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot pada Sabtu mengumumkan, Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir diharamkan daripada memasuki Perancis berkuat kuasa serta-merta, lapor Xinhua.
Menurut Xinhua, Barrot dalam satu catatan di X, berkata keputusan itu susulan tindakan “tidak layak” Ben-Gvir terhadap warga Perancis dan Eropah di atas flotila Sumud Global ke Gaza.
“Kami tidak boleh bertolak ansur dengan warga Perancis yang diancam, diintimidasi atau menjadi sasaran keganasan sedemikian, terutama oleh pegawai awam,” kata Barrot.
Dia juga menyeru Kesatuan Eropah (EU) untuk mengenakan sekatan ke atas Ben-Gvir.
Beratus-ratus ahli dari flotila bantuan yang menuju ke Gaza telah dibawa ke Pelabuhan Ashdod Israel pada Rabu, ketika Ben-Gvir mengeluarkan video yang menunjukkan sebahagian daripada mereka dirantai dan dipaksa ke tanah, menurut Xinhua.
Dalam video yang dikeluarkan oleh Ben-Gvir di saluran media sosialnya, berpuluh-puluh aktivis ditunjukkan berlutut di atas lantai, membongkok ke hadapan dengan kepala tertunduk dan tangan diikat di belakang dengan tali zip, sementara lagu kebangsaan Israel dimainkan dengan kuat melalui pembesar suara, lapor Xinhua.
Penganjur Flotila Sumud Global berkata, vesel tentera laut Israel memintas semua kapal dalam konvoi di perairan antarabangsa, kira-kira 250 batu nautika di luar pantai Gaza, lapor Xinhua, menurut penganjur, 428 aktivis telah “diculik” oleh Israel selepas pemintasan bermula pada pagi Isnin.
Barrot pada Rabu mengutuk layanan terhadap aktivis dari flotila Sumud Global, menyifatkan tindakan pihak Israel sebagai “tidak boleh diterima” dan mengumumkan bahawa duta Israel ke Perancis akan dipanggil.




























