Penggubal undang-undang AS menggesa ahli pentadbiran Presiden AS Donald Trump untuk memecatnya daripada jawatan dengan menggunakan Pindaan ke-25 Perlembagaan AS, yang memperuntukkan pemindahan kuasa jika presiden tidak dapat berkhidmat, lapor Al Jazeera.
Menurut Al Jazeera, Ahli Kongres Arizona, Yassamin Ansari, merupakan yang terbaru menggesa agar Pindaan ke-25 digunakan terhadap Trump.
“Trump sedang meningkatkan perang haram yang dahsyat, mengancam jenayah perang besar-besaran dan menyasarkan infrastruktur awam di Iran. Dalam tempoh 48 jam terakhir sahaja, retorik telah melangkaui setiap garisan,” Ansari dilapor mencatatkan di X.
Menurut Al Jazeera, terdahulu, Ahli Kongres Ilham Omar dari Minnesota juga bertindak balas terhadap ancaman Trump terhadap infrastruktur awam di Iran dengan berkata: “Ini tidak ok. Gunakan pindaan ke-25. Dakwa. Buang. Orang gila yang tidak waras ini mesti disingkirkan daripada jawatan.”
Ahli Kongres Melanie Stansbury dari New Mexico juga memberi pendapat dengan berkata: “Masa untuk Pindaan ke-25. Kongres dan Kabinet mesti bertindak.”
Bekas Ahli Kongres Republikan Joe Walsh dari Illinois juga berkata mengenai Trump: “Dia akan selama-lamanya menjadi noda di negara ini. Dan dunia. Pindaan ke-25. Sekarang.”
Menurut Al Jazeera, ahli Senat Demokrat Chris Murphy juga menyiarkan di X: “Jika saya berada dalam Kabinet Trump, saya akan menghabiskan Easter menghubungi peguam perlembagaan mengenai Pindaan ke-25. Ini sama sekali tidak kena. Dia telah membunuh beribu-ribu orang. Dia akan membunuh beribu-ribu orang lagi.”























