Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Jumaat mengesahkan bahagian penghadang konkrit baru-baru ini didirikan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melintasi wilayah Lubnan, melanggar Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 dan kedaulatan Lubnan, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan UNIFIL, lapor Xinhua, pasukan pengaman telah menjalankan tinjauan geospatial pada Oktober terhadap tembok T konkrit yang dipasang oleh IDF di barat daya perkampungan Yaroun di selatan Lebanon.
Tinjauan mendapati halangan itu melangkaui Garis Biru, memotong lebih 4,000 meter persegi tanah Lubnan daripada penduduk tempatan.
UNIFIL dilapor berkata, ia telah memaklumkan kepada IDF mengenai penemuan itu dan meminta tembok itu disingkirkan.
Pada November, pasukan pengaman memerhatikan pembinaan tembok T selanjutnya di kawasan yang sama.
Tinjauan berikutnya mengesahkan sebahagian daripada struktur baharu itu turut melintasi Garisan Biru.
UNIFIL dilapor berkata, ia akan memaklumkan secara rasmi kepada IDF mengenai pelanggaran terbaru itu.
“Kehadiran dan pembinaan Israel di wilayah Lubnan adalah pelanggaran Resolusi Majlis Keselamatan 1701 serta kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan,” UNIFIL dilapor berkata, mengulangi gesaannya kepada IDF untuk menghormati sepenuhnya Garis Biru dan berundur dari semua kawasan di utaranya.























