Rusia dilapor menggempur kawasan awam di Ukraine dengan ratusan dron dan berpuluh-puluh peluru berpandu semalaman, mengorbankan berbelas orang dan mencederakan yang lain.
Rusia melancarkan hampir 700 dron dan berpuluh-puluh peluru berpandu balistik dan jelajah, terutama menyasarkan orang awam, kata Menteri Luar Ukraine Andrii Sybiha pada Khamis di X, menurut berita AP.
Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh di Kyiv, termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, dengan lebih 50 orang lagi cedera, Sybiha dilapor berkata.
Menurut berita itu, sembilan orang terbunuh dan 23 cedera di bandar pelabuhan selatan Odesa, tiga terbunuh dan kira-kira tiga dozen cedera di wilayah tengah Dnipro, dan seorang terbunuh di Zaporizhzhia di selatan.
“Serangan sedemikian tidak boleh dinormalisasikan. Ini adalah jenayah perang yang mesti dihentikan dan pelakunya dipertanggungjawabkan,” Sybiha dilapor sebagai berkata di X.
Menurut AP, tentera udara Ukraine berkata pertahanan udara telah menembak jatuh atau melumpuhkan 667 daripada 703 sasaran yang masuk, termasuk 636 dron jenis Shahed dan kenderaan udara tanpa kru yang lain.
Ia dilapor berkata, 20 dron serangan dan 12 peluru berpandu melanda 26 lokasi.























