Pangkalan Tentera Udara Barksdale di negeri Louisiana, AS, yang menempatkan pengebom B-52 yang mampu membawa senjata nuklear, mengesan pelbagai dron tanpa kebenaran beroperasi di atas ruang udaranya pada minggu 9 Mac, menurut berita Anadolu pada Sabtu memetik laporan Fox News pada Jumaat.
Seorang pegawai pangkalan berkata, pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang persekutuan dan tempatan untuk menyiasat insiden terbabit, sambil menambah, “menerbangkan dron di atas instalasi tentera bukan sahaja merupakan isu keselamatan, malah merupakan kesalahan jenayah di bawah undang-undang persekutuan”.
Barksdale, yang terletak di timur Shreveport, mempunyai populasi seramai 15,000 orang dan meliputi kawasan seluas 89 kilometer persegi (34 batu persegi).
Pendedahan itu dibuat ketika Pentagon berkata pada Khamis bahawa ia juga sedang menyiasat laporan dron yang tidak dikenali dilihat dekat Fort Lesley J McNair, sebuah instalasi tentera utama di Washington, DC.
Penampakan dron itu berlaku di tengah-tengah kempen AS-Israel menentang Iran, yang bermula pada 28 Feb lalu.























