Kementerian Penerangan dan Penyiaran Pakistan pada Sabtu menolak dakwaan media Afghanistan menembak jatuh jet Pakistan di wilayah Nangarhar dan menangkap juruterbangnya hidup-hidup sebagai “palsu dan direka-reka”, lapor berita Xinhua.
Terdahulu, seorang ketua polis di wilayah Nangarhar, timur Afghanistan berkata pasukan Afghanistan menembak jatuh jet pejuang Pakistan di wilayah itu pada Sabtu, dan juruterbangnya telah ditangkap hidup-hidup, lapor Xinhua.
Kementerian maklumat menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, dengan menyatakan tiada pesawat milik Angkatan Tentera Pakistan telah ditembak jatuh dan tiada juruterbang hilang atau ditangkap.
“Tiada kehilangan mana-mana jet Pakistan telah dilaporkan oleh Angkatan Tentera Pakistan,” kata kenyataan itu, menurut laporan Xinhua.
Kementerian itu menurut Xinhua, menyatakan tiada bukti visual, termasuk serpihan nahas, bangkai pesawat, atau bukti juruterbang yang ditangkap, telah dikemukakan untuk mengesahkan dakwaan terbabit.























