Pasukan keselamatan Pakistan menggunakan dron dan helikopter untuk merampas kawalan sebuah pekan barat daya daripada pemberontak pemisah selepas pertempuran selama tiga hari, kata polis pada Rabu, ketika jumlah kematian dalam keganasan hujung minggu itu meningkat kepada 58, lapor Reuters.
Gelombang serangan terancang pada Sabtu oleh pemisah Tentera Pembebasan Baloch (BLA) menyebabkan wilayah terbesar Pakistan itu hampir terhenti apabila pasukan keselamatan berbalas tembakan dengan pemberontak di lebih daripada sedozen tempat, membunuh 197 militan, menurut Reuters.
“Saya sangkakan bumbung dan dinding rumah saya akan meletup,” kata Robina Ali, seorang suri rumah yang tinggal dekat bangunan pentadbiran utama di ibu kota wilayah Quetta yang berkubu, di mana letupan kuat pada waktu pagi menggegarkan kawasan itu.
Pejuang BLA, kumpulan pemberontak terkuat di rantau itu, menyerbu sekolah, bank, pasar dan kemudahan keselamatan di seluruh Balochistan dalam salah satu operasi terbesar mereka, membunuh lebih daripada 22 pegawai keselamatan dan 36 orang awam, menurut laporan Reuters.
Pegawai polis memberikan butiran situasi itu dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media.
Di pekan gurun Nushki, yang menempatkan kira-kira 50,000 penduduk, pemberontak telah merampas kawalan balai polis dan kemudahan keselamatan lain, mencetuskan pertempuran selama tiga hari, lapor Reuters.
Polis dilapor berkata, tujuh pegawai terbunuh dalam pertempuran sebelum mereka menguasai semula pekan itu lewat Isnin, sementara operasi menentang BLA diteruskan di tempat lain di wilayah itu.
“Lebih ramai tentera dihantar ke Nushki,” kata seorang pegawai keselamatan.
“Helikopter dan dron telah digunakan untuk menentang militan.”
Wilayah terbesar dan termiskin di Pakistan, Balochistan yang kaya dengan mineral bersempadan dengan Iran dan Afghanistan dan merupakan tempat pelaburan Beijing dalam pelabuhan laut dalam Gwadar dan projek-projek lain.
Ia telah bergelut dengan pemberontakan selama beberapa dekad diketuai oleh pemisah etnik Baloch yang mahukan autonomi lebih besar dan bahagian lebih besar daripada sumber semula jadinya.
BLA, yang telah menggesa penduduk wilayah itu untuk menyokong pergerakan itu, berkata pada Selasa, ia telah membunuh 280 askar semasa Operasi “Herof”, Black Storm, tetapi tidak memberikan sebarang bukti, menurut Reuters.
Pegawai keselamatan dilapor berkata, serangan hujung minggu bermula pada jam 4 pagi Sabtu dengan letupan berani mati di Nushki dan pelabuhan perikanan Pasni serta serangan senjata api dan bom tangan di 11 tempat lagi, termasuk Quetta.
Pemberontak merampas sekurang-kurangnya enam pejabat pentadbiran daerah semasa pengepungan dan telah mara pada satu ketika dalam jarak 1 km (3,300 kaki) dari pejabat ketua menteri wilayah di Quetta, Reuters memetik pegawai polis.























