Tentera Pakistan berkata pada Sabtu, pelbagai serangan berani mati dan senjata api oleh “pengganas” di seluruh wilayah barat daya Balochistan yang bergolak membunuh 33 orang, termasuk orang awam, manakala pasukan keselamatan yang bertindak balas terhadap keganasan itu membunuh 92 penyerang, menurut laporan AP.
Semasa serangan itu, pemberontak Baloch dilaporkan menyasarkan orang awam, penjara keselamatan tinggi, balai polis dan instalasi separa tentera. Lapan belas orang awam, 15 anggota keselamatan dan 92 pemberontak terbunuh, kata tentera, menurut AP.
Walaupun pemisah Baloch dan Taliban Pakistan kerap menyasarkan pasukan keselamatan di Balochistan dan di tempat lain di negara itu, serangan terselaras pada skala ini jarang berlaku.
Pihak berkuasa dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 133 militan telah terbunuh di seluruh Balochistan sejak 48 jam lalu, termasuk 92 pada Sabtu.
Menurut laporan AP, Tentera Pembebasan Baloch, atau BLA, yang diharamkan, mengaku bertanggungjawab atas serangan berani mati dan senjata api, di mana sesetengah bank dirompak dan sebuah balai polis serta berpuluh-puluh kenderaan dibakar.
AP melaporkan, BLA mengeluarkan video yang menunjukkan pejuang wanita mengambil bahagian dalam serangan itu, nampaknya sebahagian daripada usaha propaganda untuk menonjolkan peranan wanita dalam kalangan militan.























