Pihak berkuasa Mesir dilapor menemui 17 mayat yang hanyut ke pantai barat Mesir.
Menurut Anadolu, pendakwaan awam di Kegabenoran Matrouh di barat Mesir memulakan pemeriksaan kedua untuk mengenal pasti mayat pada Sabtu.
Mayat-mayat itu ditemui di dalam sebuah bot pendatang yang hanyut ke pantai pada Khamis dekat bandar Sidi Barrani, Anadolu memetik laporan akhbar Al-Masry Al-Youm.
Pemeriksaan awal pada Jumaat mendedahkan tujuh daripada mangsa adalah lelaki muda Mesir, Anadolu memetik sumber yang sama.
Menurut Anadolu, akhbar Al-Ahram yang dikendalikan oleh kerajaan melaporkan penduduk sebuah kampung di Sidi Barrani menemui sebuah bot getah yang hanyut ke pantai pada Khamis, mengandungi mayat 12 lelaki muda dan remaja yang sedang mereput.
“Operasi pencarian dipergiatkan dan kawasan itu telah disiasat; lima lagi mayat ditemui, menjadikan jumlah korban kepada 17,” menurut Anadolu memetik laporan Al-Ahram.
Dilaporkan, siasatan awal menunjukkan bot itu telah berlepas dari pantai Libya, khususnya dari kawasan di timur Libya yang terkenal dengan rangkaian pemerdagangan manusia, dan membawa pendatang dari pelbagai negara Afrika dan Asia.




























