Satu letupan kuat pada Ahad di sebuah bangunan di timur laut Myanmar dilaporkan digunakan untuk menyimpan bahan letupan perlombongan membunuh lebih 45 penduduk tempatan, menurut pekerja penyelamat dan laporan media tempatan, lapor Anadolu.
Letupan itu dilaporkan berlaku sekitar tengah hari di kampung Kaungtup di perbandaran Namhkam di negeri Shan, menyebabkan kira-kira 70 orang cedera.
Ia berlaku di kawasan kira-kira 3 kilometer (2 batu) di selatan sempadan China yang dikawal oleh Tentera Pembebasan Nasional Ta’ang (TNLA), sebuah kumpulan bersenjata etnik terkemuka dan organisasi politik di Myanmar yang memperjuangkan autonomi.
Menurut Anadolu, penyiar kerajaan China CCTV melaporkan letupan itu juga menyebabkan kerosakan teruk pada banyak rumah kediaman. Ia mengatakan penemuan awal menunjukkan letupan itu berlaku di tapak penyimpanan yang menyimpan sejumlah besar bahan letupan perlombongan.
Menurut Anadolu, beberapa organisasi berita Myanmar melaporkan, antara 50 dan 55 orang terbunuh dalam kejadian itu.
“Setakat ini, antara mangsa, 25 dilaporkan wanita dan 30 lelaki, manakala berpuluh-puluh lagi masih cedera dan sesetengahnya dipercayai masih terperangkap, dengan operasi menyelamat sedang dijalankan,” lapor agensi berita Shwe Phee Myay yang berpangkalan di negeri Shan, menurut Anadolu.




























