Seorang lelaki meninggal dunia selepas serangan jerung di luar pantai Queensland Utara Jauh Australia pada Ahad, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.
Perkhidmatan kecemasan telah dipanggil ke tanjakan bot Sungai Hull, 160 km di selatan Cairns, sejurus selepas jam 12 tengah hari, selepas menerima laporan serangan jerung, Xinhua memetik Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).
Seorang lelaki berusia 39 tahun difahamkan telah diserang semasa berada di Kennedy Shoal, sebuah tapak terumbu, sebelum dikeluarkan dari air.
Dia dibawa ke darat di tanjakan bot Sungai Hull dan dirawat oleh paramedik, Xinhua memetik laporan penyiar 9News.
Polis Queensland kemudian mengesahkan dia meninggal dunia akibat kecederaannya, menurut 9News.
Ia merupakan serangan jerung maut kedua di perairan Australia baru-baru ini, selepas seorang lelaki berusia 38 tahun maut selepas diserang seekor jerung di Pulau Rottnest di luar pantai Perth pada 16 Mei.



























