Seorang lelaki maut selepas trak dinaikinya berlanggar dengan jambatan kereta api di barat laut Sydney pada Khamis, menyebabkan ia runtuh, lapor Xinhua.
Polis di negeri New South Wales (NSW) di Australia dilaporkan berkata, trak itu melanggar jambatan di pekan Lithgow, 110 km barat laut Sydney, sejurus sebelum jam 9 pagi waktu tempatan.
Pemandu trak itu, seorang lelaki berusia 38 tahun, berjaya menyelamatkan diri selepas jambatan itu runtuh di atas trak, tetapi seorang penumpang lelaki berusia 34 tahun terperangkap dan ditemui mati pada petang Khamis selepas operasi menyelamat besar-besaran.
Polis NSW dilapor berkata, kedua-dua lelaki itu bekerja dengan Sydney Trains.
Menurut Xinhua, Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) melaporkan, kejadian itu membabitkan jambatan kereta api yang tidak digunakan.
Superintenden John Walke dilapor memberitahu pemberita, ia adalah situasi yang berbahaya bagi responder kecemasan.
Operasi pemulihan untuk mengeluarkan trak dari bawah jambatan dilaporkan masih berterusan pada petang Khamis dan polis memulakan siasatan terhadap kejadian itu.























