Jumlah kematian akibat serangan dron di kawasan awam di Kalogi, Kordofan Selatan, selatan Sudan, pada Khamis meningkat kepada 114, kata kerajaan negeri pada Ahad, menurut Xinhua.
“Setakat ini, jumlah mangsa melebihi 114 kematian, termasuk 63 kanak-kanak, bersama sekitar 71 cedera,” Gabenor Mohamed Ibrahim Abdel Karim dilapor berkata dalam satu kenyataan.
Menurutnya, jumlah korban mungkin meningkat lagi, ketika sesetengah mangsa yang cedera parah dipindahkan ke hospital di luar Kalogi kerana perkhidmatan perubatan tempatan yang terhad.
Pihak berkuasa Sudan menuduh pembangkang Pergerakan Pembebasan Rakyat Sudan-Utara (SPLM-N), diketuai Abdelaziz Al-Hilu, berkoordinasi dengan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera untuk melakukan serangan, yang mereka katakan menyasarkan kawasan awam.
Menurut Xinhua, kumpulan sukarelawan pada mulanya melaporkan sembilan kematian dan tujuh cedera akibat serangan itu, menyalahkan RSF dan SPLM-N, yang mengawal kawasan besar Kordofan Selatan.
Pada Jumaat, kerajaan negeri menaikkan angka kepada 79. Baik RSF mahupun SPLM-N tidak mengulas mengenai serangan itu, lapor Xinhua.
Pertempuran antara tentera Sudan dan RSF, yang meletus pada April 2023, telah membunuh berpuluh-puluh ribu dan menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal, mewujudkan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Agensi PBB telah memberi amaran bahawa keganasan di wilayah Kordofan baru-baru ini meningkat, mendorong perpindahan berskala besar dan penderitaan orang awam.























