Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Israel (CAA) menggesa kerajaan untuk mengalihkan pesawat tentera AS dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion dekat Tel Aviv, memberi amaran bahawa kehadiran mereka mengganggu sektor penerbangan awam negara itu dengan teruk, menurut berita Xinhua memetik harian bisnes Israel, Calcalist dan Channel 12 News melaporkan pada Isnin.
Dilaporkan, permintaan itu disampaikan dalam surat daripada Ketua Pengarah CAA, Shmuel Zakay, kepada Menteri Pengangkutan, Miri Regev.
Menurut Xinhua, jurucakap menteri itu mengesahkan kepadanya, surat itu telah diterima dan mengesahkan kandungannya.
Dalam surat itu, Zakay dilapor berkata lapangan terbang itu secara efektifnya telah “menjadi lapangan terbang tentera Amerika” merosakkan operasi syarikat penerbangan dan melambatkan kembalinya syarikat penerbangan asing ke Israel.
Dia dilapor menyeru agar pesawat AS dipindahkan ke pangkalan tentera udara Israel dan Lapangan Terbang Ramon dekat bandar selatan Eilat.
Sementara itu, sebuah helikopter tentera Israel terpaksa kekal di darat (seketika) di selatan Lubnan pada Isnin kerana kerosakan teknikal, menurut Xinhua memetik tentera.
Insiden itu dilaporkan berlaku semasa misi pemindahan Tentera Udara Israel selepas Hizbullah menyasarkan tentera di selatan Lubnan dengan dron letupan.
Pihak tentera berkata helikopter kedua telah dihantar untuk memindahkan tentera yang cedera. Anggota tentera udara kemudiannya membaiki kerosakan itu, dan helikopter pertama berlepas dengan selamat.
Helikopter itu tidak kena tembakan Hizbullah, lapor Xinhua memetik tentera.




























