Tentera Israel pada Sabtu dilaporkan meneruskan tindakan menggempur Jalur Gaza dan Lubnan meskipun gencatan senjata berkuat kuasa.
Dua rakyat Palestin cedera apabila sebuah dron Israel menjatuhkan bom ke atas sekumpulan orang awam di pekan Jabalia, utara Jalur Gaza, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.
Saksi juga mengatakan sebuah dron quadcopter Israel melepaskan bom ke kem terbabit, yang menempatkan orang-orang terlantar di timur Jabalia.
Secara berasingan, tentera Israel merobohkan rumah dan struktur Palestin di kawasan dikuasainya di timur kawasan kejiranan Shuja’iyya di timur bandar Gaza, lapor Anadolu.
Anadolu melaporkan, menurut saksi, letupan kuat kedengaran akibat perobohan itu.
Bedilan artileri berat juga menyasarkan kawasan di utara dan timur Beit Lahia di utara Jalur Gaza, bertepatan dengan tembakan berat dari kenderaan Israel.
Di selatan Jalur Gaza, kawasan timur Khan Younis telah mengalami tembakan artileri dan tembakan berat dari kenderaan Israel, lapor Anadolu memetik sumber tempatan.
Menurut Anadolu, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, lebih 880 orang telah terbunuh dan lebih 2,645 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata diumumkan Oktober tahun lalu.
Perjanjian itu bertujuan untuk menghentikan perang dua tahun Israel yang mengorbankan lebih 72,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mencederakan lebih 172,000 sejak Oktober 2023, dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran yang menjejaskan 90% infrastruktur awam.
Di Lubnan, serangan baharu Israel pada Sabtu telah mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang, termasuk seorang di pekan al-Rafid, menurut Anadolu memetik laporan Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan.
Serangan di daerah Tyre selatan Lubnan juga memusnahkan sebuah rumah dan mengorbankan empat orang lain.
Serangan Israel juga menyebabkan kerosakan teruk pada Hospital Hiram di Tyre.
Lebih 3,000 terbunuh, dan 1.6 juta kehilangan tempat tinggal dalam serangan Israel di Lubnan yang bermula pada 2 Mac lalu, sejurus selepas tindakan balas Hizbullah terhadap perang Iran, lapor Anadolu memetik pegawai Lubnan.
Serangan Israel berterusan meskipun gencatan senjata dimediasi oleh AS masih berkuat kuasa sehingga awal Julai.





























