Tentera Israel membunuh seorang warga Palestin di Jalur Gaza pada Jumaat, kata tentera, menggambarkan rakyat Palestin itu sebagai militan yang melintasi garisan sempadan memisahkan kawasan di bawah kawalan Israel, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan, tentera dilapor berkata, rakyat Palestin itu dikenal pasti melintasi “garisan kuning” dan mendekati tentera Israel di selatan Jalur Gaza, menimbulkan “ancaman segera”.
Menurut Xinhua, kenyataan itu menambah bahawa tentera Israel tetap dikerahkan “mengikut perjanjian gencatan senjata” tetapi akan “terus beroperasi untuk menghapuskan sebarang ancaman segera”.
Walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hamas telah dilaksanakan sejak 10 Oktober, pertempuran antara kedua-dua pihak berterusan.
Xinhua melaporkan, menurut agensi berita rasmi Palestin WAFA, 260 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak 11 Okt.























