Komander tentera laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata pada Khamis bahawa Tehran akan memberikan “pukulan paling teruk kepada musuhnya” sambil mengekalkan strateginya untuk memastikan Selat Hormuz ditutup, lapor Anadolu.
Menurut Anadolu, Alireza Tangsiri dalam satu kenyataan di X, berkata langkah itu datang “sebagai tindak balas kepada arahan Panglima Tertinggi (Mojtaba Khamenai)” dan pasukan Iran akan terus melaksanakan strategi untuk memastikan laluan air Teluk utama ditutup dan “memberikan pukulan paling teruk kepada musuh penyerang”.
Terdahulu, Pemimpin Agung Iran yang baharu, Mojtaba Khamenei, berkata dalam ucapan awam pertamanya bahawa selat itu mesti kekal ditutup, yang telah disekat sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel yang bermula pada 28 Feb lalu.
Serangan bersama oleh AS dan Israel berterusan dan setakat ini telah membunuh lebih 1,300 orang, termasuk Ali Khamenei, bekas pemimpin agung itu, dan mencederakan lebih 10,000 yang lain. Sehingga 3.2 juta rakyat Iran juga telah kehilangan tempat tinggal sementara, menurut agensi bantuan PBB UNHCR.
Tehran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, dan pangkalan AS di Teluk.
Mojtaba dipilih sebagai pengganti bapanya, Ali Khamenei, awal minggu ini.
























