Iran pada Khamis berkata ia melancarkan serangan baharu ke atas tapak tentera Israel dan pangkalan AS di rantau itu, manakala Israel mendakwa telah menyerang tapak Iran yang dikatakannya dikaitkan dengan “program pembangunan senjata nuklear” Iran, lapor Anadolu.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata dalam satu kenyataan bahawa serangan itu menyasarkan tapak tentera di sekitar Tel Aviv dan Baitulmaqdis serta pangkalan tentera AS di rantau itu.
Ia berkata operasi itu membabitkan penggunaan peluru berpandu berbilang kepala peledak Khorramshahr dan peluru berpandu Kheibar Shekan yang membawa kepala peledak satu tan, serta peluru berpandu Fattah dan Qader, selain dron berani mati.
Tentera Israel, bagi pihaknya, berkata dalam satu kenyataan bahawa ia menjalankan serangan di Tehran di tapak tambahan yang dikaitkan dengan program nuklear Iran, mengenai kompleks Taleghan yang didakwa digunakan oleh Tehran “untuk memajukan keupayaan kritikal untuk membangunkan senjata nuklear”.
“Kawasan itu digunakan untuk membangunkan bahan letupan canggih dan menjalankan eksperimen sensitif sebagai sebahagian daripada projek ‘AMAD’, program pembangunan senjata nuklear rahsia pada tahun 2000-an,” dakwanya.
Tiada komen segera daripada Iran mengenai dakwaan Israel itu.
Serangan itu berlaku ketika serangan udara AS dan Israel ke atas Iran, yang dilancarkan pada 28 Feb, telah membunuh kira-kira 1,300 orang dan mencederakan lebih 10,000 orang.























