Gempa bumi dan gegaran gunung berapi terus direkodkan di Gunung Berapi Taal di wilayah Batangas, Pulau Luzon di utara Filipina, lapor Anadolu memetik media tempatan pada Sabtu.
Menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs), 25 gempa bumi gunung berapi dan enam gegaran gunung berapi telah direkodkan di gunung berapi itu dalam 24 jam lalu, dengan setiap gegaran berlangsung antara satu hingga tujuh minit, lapor Anadolu memetik saluran media tempatan Inquirer.net.
Agensi itu menyatakan tahap aktiviti berubah-ubah dalam beberapa hari kebelakangan ini, selepas mencatatkan 51 gempa bumi gunung berapi dan 13 gegaran pada Khamis.
Gunung Berapi Taal, salah satu gunung berapi paling aktif di Filipina, masih di bawah pemantauan rapi ketika pihak berkuasa terus menilai perubahan dalam aktiviti seismik yang boleh menandakan pergolakan selanjutnya.
Secara berasingan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina melanjutkan sekatan penerbangan di sekitar Gunung Berapi Mayon di Wilayah Bicol, tenggara Luzon sehingga Ahad, selepas gunung berapi itu diletakkan di bawah Amaran Tahap 2 disebabkan oleh peningkatan runtuhan batu dan ubah bentuk tanah yang boleh menandakan kemungkinan letusan, lapor Anadolu.
























