Pihak berkuasa Greece menemui mayat dua migran dekat tebing Sungai Evros, yang membentuk sempadan semula jadi antara Greece dan Turkiye, berita Xinhua memetik laporan penyiar kebangsaan Greece, ERT pada Ahad.
Mangsa, dua lelaki yang dipercayai berumur sekitar 20 dan 35 tahun, ditemui lewat Sabtu dekat pekan Didymoteicho dekat sungai.
Bedah siasat akan dijalankan untuk menentukan punca sebenar kematian. Menurut sumber tempatan, kedua-dua lelaki itu disyaki meninggal dunia akibat hipotermia di tengah-tengah suhu rendah selepas menyeberangi sungai.
Sejak 2015, Greece telah menjadi pintu masuk utama ke Kesatuan Eropah untuk migran dan pelarian tanpa izin. Lebih 1 juta orang telah tiba di negara itu sejak sedekad lalu. Semasa perjalanan berbahaya itu, beratus-ratus orang telah kehilangan nyawa mereka di laut dan berpuluh-puluh lagi di wilayah Sungai Evros.
Data dikeluarkan bulan lalu oleh Agensi Pengawal Sempadan dan Pantai Eropah (Frontex) menunjukkan aliran migrasi tidak teratur melalui laluan Mediterranean Timur menurun sebanyak 27 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, lapor Xinhua, angka Frontex menunjukkan kira-kira 51,400 ketibaan tidak teratur telah direkodkan di Greece pada 2025.























