• Tiada negara boleh guna Hormuz untuk lancar serangan ke atas Iran – Kementerian Luar Negeri

    Jurucakap Kementerian Luar Negeri Iran, Esmaeil Baghaei, berkata Selat Hormuz tidak akan dibuka kepada mana-mana negara yang ingin menyerang Iran, lapor Aljazeera.

    Baghaei berkata laluan kapal melalui laluan air utama itu akan berlaku di bawah syarat khas disebabkan oleh apa yang dia sifatkan sebagai ketidakamanan yang dicipta oleh Israel dan AS di rantau itu, sambil menambah bahawa angkatan tentera Iran mengawal laluan terbabit dan tiada negara boleh menggunakannya untuk melancarkan serangan ke atas Iran.

    Dia menambah bahawa Iran, sebagai sebuah negara pesisir, berhak untuk mengambil langkah yang perlu di selat itu bagi memastikan keselamatan negara dan mencegah apa yang dia sifatkan sebagai penceroboh daripada menyalahgunakan laluan air terbabit.

    Baghaei berkata Iran secara sejarahnya menjadi penjaga laluan selamat melalui selat itu tetapi menyalahkan AS dan Israel kerana mewujudkan keadaan semasa.

  • Menteri Luar Jerman tidak lihat peranan NATO dalam mengamankan Selat Hormuz

    Menteri Luar Johann Wadephul berkata Jerman tidak melihat peranan pakatan pertahanan NATO dalam menangani sekatan Selat Hormuz oleh Iran, lapor Aljazeera.

    “Saya tidak melihat bahawa NATO telah membuat sebarang keputusan ke arah ini atau boleh mengambil tanggungjawab untuk Selat Hormuz. Jika itu berlaku, maka badan-badan NATO akan menanganinya secara sewajarnya,” kata Wadephul sebelum mesyuarat Majlis Hal Ehwal Luar EU di Brussels.

    Trump telah meningkatkan tekanan ke atas sekutu Eropah untuk membantu melindungi selat itu, memberi amaran bahawa NATO menghadapi masa depan yang “sangat buruk” jika ahli-ahlinya gagal membantu Washington.

  • Israel kata serangannya sedang dijalankan ke atas Tehran, Shiraz, Tabriz

    Tentera Israel mengumumkan bahawa ia telah memulakan “gelombang serangan berskala besar yang menyasarkan infrastruktur” di bandar-bandar Iran di Tehran, Shiraz dan Tabriz secara serentak, lapor Aljazeera.

    Tehran terletak di utara negara itu, Tabriz – bandar keempat terbesar di negara itu – berada di barat laut, dan Shiraz berada di barat daya.

  • Lebih 3,350 rakyat Israel cedera sejak permulaan perang ke atas Iran

    Kementerian Kesihatan Israel mengatakan sekurang-kurangnya 3,369 orang, termasuk orang awam dan anggota tentera cedera dan dimasukkan ke hospital sejak permulaan perang AS-Israel ke atas Iran, lapor Aljazeera.

    Menurut Aljazeera, kementerian itu mengatakan angka ini termasuk 142 orang dalam tempoh 24 jam lalu.

  • Serpihan peluru berpandu Iran landa beberapa lokasi di tengah Israel

    Serpihan daripada peluru berpandu Iran yang dipintas telah melanda beberapa lokasi di tengah Israel, berita Aljazeera memetik laporan media Israel.

    Saluran 12 Israel mengatakan serpihan jatuh di bandar Shoham, Rishon LeZion, Lod dan Ness Ziona dekat Tel Aviv. Tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan.

  • Impak peluru berpandu Iran di tengah Israel

    Menurut Aljazeera, beberapa saluran media Israel melaporkan, sekurang-kurangnya satu peluru berpandu Iran telah melanda tengah Israel, walaupun masih belum jelas sama ada impak itu adalah daripada serpihan atau serangan langsung.

    Berikutan amaran serangan udara yang berbunyi di seluruh tengah dan selatan Israel, akhbar Haaretz melaporkan bahawa terdapat “impak” di tengah Israel, tetapi tiada kecederaan dilaporkan pada masa ini.

    Akhbar The Times of Israel, memetik perkhidmatan penyelamat Israel, berkata terdapat sekurang-kurangnya “dua impak … dilaporkan di tengah Israel”, sambil menambah bahawa “tiada laporan segera mengenai kecederaan dalam serangan itu”.

    Radio Tentera Darat Israel, memetik sumber tentera Israel, melaporkan bahawa peluru berpandu Iran jatuh di kawasan sekitar Tel Aviv.

  • Israel dakwa musnahkan pesawat digunakan oleh alhmarhum pemimpin tertinggi Iran

    Tentera Israel berkata tentera udaranya semalaman pada Isnin telah memusnahkan (dismantled) pesawat yang digunakan oleh almarhum Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei dalam “serangan tepat” di Lapangan Terbang Mehrabad di ibu kota Tehran, lapor Aljazeera.

    “Pemusnahan (dismantling) pesawat itu mengganggu keupayaan penyelarasan kepimpinan rejim Iran dengan negara-negara paksi, usaha peningkatan kekuatan tenteranya dan keupayaannya untuk memulihkan keupayaannya,” kata kenyataannya yang diterbitkan di Telegram.

  • Lebih 500 terbunuh dalam serangan AS-Israel ke atas wilayah Tehran sejak perang

    Mohammad Esmaeil Tavakoli, ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) di wilayah Tehran, Iran, dipetik oleh agensi berita Mehr Iran sebagai berkata bahawa 503 orang telah terbunuh di wilayah itu sejak perang AS-Israel bermula di negara itu, lapor Aljazeera.

    Kira-kira 5,700 orang juga cedera di kawasan itu sejak 28 Feb, tambahnya.

  • Kebakaran di zon perindustrian Fujairah UAE selepas serangan dron

    Kebakaran berlaku di zon perindustrian di Fujairah UAE selepas serangan dron, kata pejabat media emirat itu, lapor Aljazeera.

    Pasukan pertahanan awam cuba mengawal kebakaran dan tiada kecederaan setakat ini dilaporkan, tambahnya.

  • Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam serangan AS-Israel ke atas wilayah Markazi, Iran

    Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan tujuh yang lain cedera selepas serangan berasingan dilakukan oleh pasukan AS dan Israel di wilayah Markazi, Iran, menurut agensi berita Mehr, lapor Aljazeera.

    Dalam serangan pertama, sebuah kawasan perumahan di sekitar bandar Arak telah diserang dan membunuh sekurang-kurangnya empat orang, kata laporan itu memetik seorang pegawai wilayah Markazi.

    Laporan itu mengatakan terdapat kemungkinan jumlah kematian boleh meningkat.

    Dalam serangan kedua, sebuah bangunan kediaman di bandar Mahallat, Markazi telah diserang, membunuh seorang dan mencederakan tujuh yang lain.

  • Abu Dhabi lapor korban selepas insiden peluru berpandu

    Pihak berkuasa di Abu Dhabi bertindak balas terhadap “insiden yang melibatkan peluru berpandu jatuh ke atas kenderaan awam di kawasan Al Bahyan”, menurut pejabat media bandar itu, lapor Aljazeera.

    Insiden itu mengakibatkan “satu korban warga Palestin”, katanya dalam satu catatan di X, lapor Aljazeera.

  • Sekolah diserang pada waktu fajar di bandar Khomein, Iran

    Menurut Aljazeera, agensi berita Fars Iran melaporkan apa yang digambarkannya sebagai serangan AS-Israel ke atas Sekolah Lelaki Shahid Khomeini pada waktu fajar hari ini, melampirkan beberapa gambar yang menunjukkan kemusnahan sebuah bangunan.

    Kemudian, agensi berita Mehr memetik seorang timbalan gabenor wilayah Markazi, Iran sebagai berkata bahawa sebuah sekolah telah diserang di bandar Khomein tanpa menyebabkan sebarang korban, tetapi banyak rumah di sekitar kemudahan itu rosak.

    Dalam satu catatan di Telegram, Persatuan Bulan Sabit Merah Iran berkongsi gambar yang sama yang sebelum ini disiarkan oleh Fars dengan kapsyen, berbunyi: “Serangan udara ke atas sebuah sekolah di Khomein”.

  • Dua terbunuh dalam serangan udara ke atas pangkalan militia Iraq

    Menurut Aljazeera, ia telah membuat liputan serbuan ke atas ibu pejabat Pasukan Mobilisasi Popular di kawasan Jurf al-Sakhar dekat Babylon.

    Seorang pegawai keselamatan Iraq melaporkan sekurang-kurangnya dua orang telah terbunuh dalam kejadian itu.

  • Israel umum operasi darat di selatan Lubnan

    Tentera Israel mengatakan Briged ke-91nya memulakan operasi darat di selatan Lubnan untuk “meluaskan” “zon pertahanan hadapan” mereka, lapor Aljazeera.

    Menurut Aljazeera, dalam satu catatan di X tentera mengatakan matlamat operasi itu – yang dilancarkan “dalam beberapa hari kebelakangan ini” – adalah untuk memusnahkan infrastruktur Hizbullah dan “menghapuskan ancaman” dan mewujudkan “lapisan keselamatan tambahan” untuk penduduk Israel yang tinggal dekat sempadan Lubnan.

    Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan Israel ke atas negara itu sejak 28 Feb telah membunuh sekurang-kurangnya 850 orang, termasuk 66 wanita, 107 kanak-kanak, dan 32 petugas kesihatan. 2,105 lagi telah cedera, manakala lebih 800,000 telah kehilangan tempat tinggal.

  • Pasukan Israel sasar pinggir bandar selatan Beirut

    Menurut Aljazeera, rakan sekerjanya di Al Jazeera Arabic melaporkan, Israel melancarkan dua serbuan yang menyasarkan kawasan di pinggir bandar selatan Beirut.

    Tiada laporan segera mengenai korban.

  • Harga minyak naik lagi dengan minyak mentah Brent cecah $106 setong di tengah-tengah peningkatan AS-Iran

    Harga minyak meningkat lagi, dengan minyak mentah Brent mencecah $106 setong awal Isnin sebelum berundur sedikit kepada lebih $104 apabila peningkatan ketegangan Timur Tengah berterusan, lapor Anadolu.

    Kenaikan harga penanda aras minyak mentah global berlaku selepas niaga hadapan minyak kembali diniagakan sekitar 2200GMT pada Ahad.

    Ia juga berlaku selepas Presiden AS Donald Trump berkata pada Jumaat bahawa serangan AS menyasarkan Pulau Kharg, terminal eksport minyak utama Iran di Teluk Parsi, tanpa menjejaskan infrastruktur minyak.

    Walau bagaimanapun, dia menambah bahawa walaupun dia memilih untuk tidak memusnahkan kemudahan itu, dia akan segera mempertimbangkan semula keputusannya jika Iran atau sesiapa sahaja mengganggu laluan kapal yang bebas dan selamat melalui Selat Hormuz.

    AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb lalu.

  • Australia tidak akan hantar kapal tentera laut ke Selat Hormuz

    Australia tidak akan menghantar kapal tentera laut untuk melindungi kapal tangki minyak di Selat Hormuz, kata seorang menteri kanan kerajaan pada Isnin, berita Xinhua melaporkan.

    Australia bersedia sepenuhnya untuk “krisis ekonomi” yang disebabkan oleh konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah dan tidak akan menghantar kapal perang ke rantau itu, kata Menteri Infrastruktur, Pengangkutan, Pembangunan Wilayah dan Kerajaan Tempatan Catherine King, yang juga ahli Kabinet Perdana Menteri Anthony Albanese, menurut radio Perbadanan Penyiaran Australia (ABC), lapor Xinhua.

    Catherine berkata bahawa stok bahan api Australia berada pada 37 hari petrol, 30 hari diesel dan 29 hari bahan api jet setakat Isnin selepas kerajaan mengurangkan obligasi pegangan stok minimum dan meminda piawaian kualiti bahan api buat sementara waktu untuk membenarkan tahap sulfur yang lebih tinggi.

    “Kami bersedia sepenuhnya di negara ini untuk menghadapi krisis ekonomi yang berlaku akibat Timur Tengah,” katanya.

    Kerajaan persekutuan pada Sabtu mengeluarkan amaran kepada rakyat supaya tidak transit melalui Bahrain, Iran, Iraq, Israel, Kuwait, Lubnan, Palestin, Qatar, Syria, Yaman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

    Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan sebelum ini telah mengeluarkan amaran perjalanan untuk semua negara terbabit melalui perkhidmatan Smartraveller, tetapi pada Sabtu berkata bahawa rakyat Australia juga harus mengelak daripada transit melaluinya, walaupun mereka tidak merancang untuk meninggalkan lapangan terbang.

    Ia berkata bahawa konflik itu berkemungkinan akan memuncak lagi dan penerbangan boleh berubah atau berhenti secara tiba-tiba.

  • Araghchi kata serangan Israel ke atas depot minyak merupakan ‘ekosid’

    Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mengutuk serangan Israel ke atas depot bahan api di Tehran, melabelkan tindakan itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan satu bentuk “ekosid”, lapor Aljazeera.

    Menurut Aljazeera, Araghchi dalam satu kenyataan di X berkata, “penduduk menghadapi kerosakan jangka panjang terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka” dan bahawa “pencemaran tanah dan air bawah tanah boleh memberi kesan kepada generasi”.

    “Israel mesti dihukum atas jenayah perangnya,” tambahnya.

  • Siren berdentum di selatan Israel di tengah-tengah amaran peluru berpandu baharu dari Iran

    Menurut Aljazeera, penyiar Channel 12 melaporkan siren serangan udara telah dibunyikan di seluruh selatan Israel selepas tentera Israel memberi amaran gelombang baharu peluru berpandu dari Iran.

    Tiada korban dilaporkan daripada kejadian itu, tambah Channel 12.

    Terdahulu, siren berdentum di tengah Israel di tengah-tengah amaran serangan peluru berpandu.

  • Dubai kawal kebakaran di lapangan terbang, gantung penerbangan

    Pejabat Media Dubai berkata pasukan pertahanan awam “berjaya mengawal kebakaran akibat daripada impak pada satu daripada tangki bahan api di sekitar” lapangan terbang antarabangsa bandar itu, lapor Aljazeera.

    “Tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.

    Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Dubai berkata ia menggantung sementara penerbangan di lapangan terbang “sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan semua penumpang dan kakitangan”, lapor Aljazeera.