Australia tidak akan menghantar kapal tentera laut untuk melindungi kapal tangki minyak di Selat Hormuz, kata seorang menteri kanan kerajaan pada Isnin, berita Xinhua melaporkan.
Australia bersedia sepenuhnya untuk “krisis ekonomi” yang disebabkan oleh konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah dan tidak akan menghantar kapal perang ke rantau itu, kata Menteri Infrastruktur, Pengangkutan, Pembangunan Wilayah dan Kerajaan Tempatan Catherine King, yang juga ahli Kabinet Perdana Menteri Anthony Albanese, menurut radio Perbadanan Penyiaran Australia (ABC), lapor Xinhua.
Catherine berkata bahawa stok bahan api Australia berada pada 37 hari petrol, 30 hari diesel dan 29 hari bahan api jet setakat Isnin selepas kerajaan mengurangkan obligasi pegangan stok minimum dan meminda piawaian kualiti bahan api buat sementara waktu untuk membenarkan tahap sulfur yang lebih tinggi.
“Kami bersedia sepenuhnya di negara ini untuk menghadapi krisis ekonomi yang berlaku akibat Timur Tengah,” katanya.
Kerajaan persekutuan pada Sabtu mengeluarkan amaran kepada rakyat supaya tidak transit melalui Bahrain, Iran, Iraq, Israel, Kuwait, Lubnan, Palestin, Qatar, Syria, Yaman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan sebelum ini telah mengeluarkan amaran perjalanan untuk semua negara terbabit melalui perkhidmatan Smartraveller, tetapi pada Sabtu berkata bahawa rakyat Australia juga harus mengelak daripada transit melaluinya, walaupun mereka tidak merancang untuk meninggalkan lapangan terbang.
Ia berkata bahawa konflik itu berkemungkinan akan memuncak lagi dan penerbangan boleh berubah atau berhenti secara tiba-tiba.























