• 24 terbunuh, 50 cedera susulan serangan dron Ukraine ke wilayah Kherson

    Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan lebih 50 yang lain cedera selepas tiga dron Ukraine menyerang sebuah kafe dan sebuah hotel di Kherson pada malam Rabu, kata pihak berkuasa tempatan, menurut berita Xinhua.

    Serangan itu berlaku ketika orang awam berkumpul untuk meraikan Tahun Baru, Vladimir Saldo, ketua wilayah Kherson, dilapor sebagai berkata dalam catatan di Telegram.

    “Ramai orang terbakar hidup-hidup,” kata Saldo, sambil menyatakan bahawa salah satu dron membawa campuran pembakar, yang mencetuskan kebakaran besar di tempat kejadian. Anggota bomba hanya dapat memadamkan sepenuhnya kebakaran itu pada awal pagi Khamis.

    Doktor kini sedang berusaha untuk menyelamatkan nyawa mangsa yang cedera, katanya, sambil menambah bahawa pihak berkuasa serantau akan menyediakan semua bantuan diperlukan kepada mangsa dan keluarga mereka yang terkorban.

  • Gempa bumi 5.9 magnitud landa Tenggara Alaska

    Gempa bumi bermagnitud 5.8 menggegarkan Tenggara Alaska pada 0646 GMT Khamis, kata Pusat Penyelidikan Geosains Jerman GFZ, menurut berita Xinhua.

    Pusat gempa, dengan kedalaman 10 km, pada mulanya ditentukan berada pada 60.64 darjah latitud utara dan 140.00 darjah longitud barat.

  • 5 maut dalam kejadian tembakan di selatan Brazil

    Lima orang maut awal pagi Rabu, termasuk seorang mangsa dan empat suspek bersenjata, dalam dua kejadian berkaitan tembakan di negeri Parana, selatan Brazil, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Mayat seorang lelaki yang telah ditembak mati ditemui di kawasan kejiranan Cornelio Procopio, sebuah bandar kira-kira 380 km dari ibu negeri Curitiba dan kira-kira 520 km dari sempadan Brazil dengan Argentina dan Paraguay.

    Polis Tentera kemudiannya menemui empat suspek bersenjata dipercayai ada kaitan dengan kes itu dan terlibat dalam pengejaran yang berakhir dengan kejadian tembak-menembak, membunuh keempat-empat suspek.

    Polis dilapor berkata, suspek melepaskan tembakan ketika cuba melarikan diri dengan sebuah kenderaan, yang kemudiannya terbalik semasa pengejaran.

    Mayat empat lelaki terbabit ditemui di dalam kereta bersama dua senjata api, menurut berita Xinhua memetik media tempatan.

  • 8 terbunuh dalam serangan AS ke atas bot didakwa bawa dadah di Pasifik Timur

    Tentera Amerika Syarikat (AS) berkata pada Rabu, lima bot yang disyaki mengangkut dadah dimusnahkan di perairan antarabangsa di timur Pasifik selama dua hari, membunuh lapan lelaki di dalamnya, manakala yang lain terjun ke laut, menurut berita Xinhua memetik Perintah Selatan AS.

    Di bawah arahan Setiausaha Perang Pete Hegseth, Pasukan Petugas Bersama Southern Spear telah menjalankan “serangan kinetik” terhadap tiga kapal yang dikendalikan oleh “Organisasi Pengganas yang Ditetapkan” pada Isnin, dan dua kapal pada Rabu, kata perintah itu di laman webnya, menurut Xinhua.

    Tiga orang di kapal pertama terbunuh dalam serangan pertama pada Isnin, perintah itu dilapor sebagai berkata, sambil menambah, “pengganas narko yang tinggal meninggalkan dua kapal lain, terjun ke laut dan menjauhkan diri sebelum pertempuran susulan menenggelamkan kapal masing-masing”.

    Menurut berita Xinhua, dalam satu lagi siaran akhbar, perintah itu berkata lima orang terbunuh semasa tindakan ini pada Rabu, dengan tiga di kapal pertama dan dua di kapal kedua.

    Sehingga Rabu, Pentagon telah menenggelamkan 35 kapal dadah yang didakwa di Caribbean dan timur Lautan Pasifik sejak awal September, membunuh sekurang-kurangnya 115 orang di dalamnya, menurut berita Xinhua.

    Selama berbulan-bulan, AS telah mengekalkan kehadiran tentera yang ketara di Caribbean, kebanyakannya di luar pantai Venezuela, kononnya untuk memerangi pengedaran dadah – satu dakwaan yang dikecam oleh Venezuela sebagai percubaan terselindung untuk membawa perubahan kerajaan di Caracas.

  • DR Congo kata lebih 1,500 orang awam terbunuh dalam keganasan di timur

    Kerajaan Republik Demokratik Congo (DRC) berkata pada Rabu, lebih 1,500 orang awam terbunuh dalam keganasan yang semakin meningkat di wilayah timur negara itu, Kivu Selatan, sejak awal Disember, menurut berita Xinhua.

    Menurut berita Xinhua, kerajaan itu dalam satu kenyataan berkata, pertempuran telah meningkat di beberapa kawasan di wilayah itu, terutama di sepanjang paksi Kamanyola-Uvira, di mana operasi bersenjata telah mencetuskan perpindahan berskala besar.

    Sementara itu, lebih 500,000 orang dilaporkan terpaksa meninggalkan rumah mereka di tengah-tengah ketidakamanan berterusan.

    Kerajaan dilaporkan berkata barisan hadapan telah beransur-ansur beralih ke selatan, menjejaskan pelbagai kawasan di Kivu Selatan, termasuk Uvira, Fizi dan Mwenga.

    Pihak berkuasa mengaitkan peningkatan itu dengan kumpulan bersenjata yang beroperasi di rantau itu, menuduh mereka melanggar komitmen sedia ada dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

    DRC Timur telah menghadapi ketidakstabilan selama beberapa dekad, satu situasi yang semakin buruk sejak kebangkitan semula kumpulan pemberontak Gerakan 23 Mac pada akhir 2021.

    Kinshasa telah berulang kali menuduh negara jirannya, Rwanda, menyokong kumpulan itu, satu dakwaan dinafikan oleh Kigali.

  • 9 maut dalam kemalangan jalan raya di Eastern Cape, Afrika Selatan

    Sembilan orang terbunuh dan lapan lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di wilayah Eastern Cape di Afrika Selatan pada pagi Rabu, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Kemalangan dilaporkan melibatkan sebuah teksi minibus dan sebuah kenderaan penumpang berlaku sekitar jam 10 pagi waktu tempatan di jalan R61 antara Engcobo dan Cofimvaba dekat Kampung Beyele di Eastern Cape.

    Teksi minibus itu, dalam perjalanan dari Ngcobo ke kawasan luar bandar sekitarnya, manakala kenderaan Toyota Avanza, dalam perjalanan dari Cofimvaba, yang mana kedua-dua kenderaan itu bertembung secara berhadapan, menurut jurucakap Jabatan Pengangkutan Wilayah, Unathi Binqose.

    Empat orang dari Toyota Avanza dan lima dari teksi minibus itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

  • 4 sekeluarga maut dalam kemalangan di tenggara Brazil

    Empat sekeluarga maut awal pagi Rabu apabila kereta mereka dilanggar secara berhadapan oleh sebuah trak pengangkut kereta di lebuh raya persekutuan di negeri Minas Gerais, tenggara Brazil, menurut berita Xinhua memetik polis.

    Kemalangan itu berlaku di lebuh raya BR-040 dekat perbandaran Joao Pinheiro di barat laut Minas Gerais, menurut Polis Lebuhraya Persekutuan.

    Polis dilapor berkata, trak itu sedang bergerak di laluan Brasilia-Joao Pinheiro apabila ia melintas ke lorong bertentangan dan berlanggar dengan kereta terbabit.
    Kereta itu terbakar sejurus selepas perlanggaran.

    Mangsa, pasangan suami isteri dan dua anak mereka, meninggal dunia di tempat kejadian, menurut berita Xinhua, pemandu trak cedera dan menerima rawatan kecemasan sebelum dibawa ke hospital di Joao Pinheiro.

    Ia merupakan kemalangan maut ketiga yang dilaporkan dalam beberapa hari kebelakangan ini di bahagian lebuh raya yang sama.

  • 1 terbunuh, beberapa cedera dalam pengeboman berani mati sasar rondaan polis di Aleppo, Syria

    Seorang pegawai polis terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam pengeboman berani mati lewat Rabu di bandar Aleppo, utara Syria, lapor Anadolu memetik media kerajaan.

    Serangan itu menyasarkan rondaan polis di kawasan Bab al-Faraj, menurut Anadolu memetik Agensi Berita Arab Syria (SANA).

    Menurut Anadolu, televisyen Al-Ikhbariya, memetik sumber keselamatan, berkata penyerang itu meletupkan dirinya semasa diperiksa selepas menimbulkan syak wasangka.

    Gabenor Aleppo, Azam al-Gharib dilapor berkata, kejadian itu berlaku semasa pasukan keselamatan dalaman menjalankan tugas untuk mengamankan sambutan Tahun Baru di bandar itu.

    Menurut al-Gharib, anggota keselamatan mengenal pasti seorang suspek militan dan bertindak untuk menangkapnya. Semasa operasi itu, seorang pegawai berjaya menahan suspek secara fizikal, di mana penyerang itu meletupkan tali pinggang bahan letupan.

  • Angka maut di Gaza meningkat kepada 71,269 sejak Oktober 2023

    Jumlah kematian akibat pencerobohan Israel di Jalur Gaza meningkat kepada 71,269 kematian, dengan 171,232 cedera sejak Oktober 2023, lapor Agensi Berita & Info Palestin (WAFA) memetik sumber perubatan pada Rabu.

    Pihak berkuasa kesihatan tempatan melaporkan bahawa dalam 48 jam lalu, tiga kematian telah dibawa ke hospital Gaza, termasuk dua yang mayatnya ditemui dari bawah runtuhan, selain 10 yang cedera.

    Menurut WAFA, sumber-sumber mengatakan bahawa sejak gencatan senjata, sekurang-kurangnya 415 rakyat Palestin telah terbunuh, dan 1,152 yang lain cedera, manakala 682 mayat telah ditemui.

    Sumber perubatan juga menyatakan seorang lelaki dan seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat runtuhan bangunan yang disebabkan oleh keadaan cuaca buruk, menjadikan jumlah kematian berkaitan runtuhan bangunan kepada 19 kes yang telah sampai ke hospital, lapor WAFA.

  • Belgium gesa Israel tarik balik semua sekatan ke atas bantuan kemanusiaan ke Gaza

    Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot pada Rabu menggesa Israel untuk menghapuskan sekatan ke atas akses kemanusiaan di wilayah Palestin, menekankan bahawa pemberian bantuan tidak seharusnya “bersyarat atau dipolitikkan”, menurut laporan Anadolu.

    Menurut laporan itu, Prevot mengkritik rancangan Israel untuk menyekat pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa di Gaza, merujuk kepada penegasan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Israel mempunyai kewajipan tanpa syarat di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk memastikan penghantaran bantuan tanpa halangan kepada orang awam.

    “Aktor kemanusiaan profesional seperti UNRWA dan INGO yang dibiayai oleh Belgium mematuhi piawaian ketelusan, kesaksamaan dan kebebasan tertinggi,” katanya di X, menurut Anadolu, menggesa Israel untuk bekerjasama dengan semua aktor kemanusiaan “dengan niat baik, berdasarkan kriteria yang jelas dan tidak dipolitikkan, untuk memaksimumkan penghantaran bantuan di Palestin”.

    “Saya menggesa Kerajaan Israel untuk menghapuskan semua sekatan akses kemanusiaan, dan untuk menghormati Pelan Komprehensif untuk Menamatkan Konflik Gaza,” tambah Prevot.

    Walaupun perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober, Israel dilaporkan terus menutup sebahagian besar lintasan Gaza, menghalang kemasukan rumah mudah alih dan bahan pembinaan semula dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang menjejaskan lebih 2 juta orang.

    Menurut Anadolu, pegawai Palestin mengatakan sekurang-kurangnya 414 orang di Gaza telah terbunuh sejak gencatan senjata.

  • 4 pelancong China cedera dalam perlanggaran kereta api di selatan Peru

    Empat pelancong China cedera selepas dua kereta api bertembung pada Selasa di selatan Peru, lapor berita Xinhua memetik Kedutaan China di Peru.

    Empat yang cedera dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan, kata kedutaan itu.

  • Presiden Colombia kata AS mengebom kemudahan disyaki proses dadah di Venezuela

    Presiden Colombia Gustavo Petro berkata pada Selasa, Presiden AS Donald Trump telah mengarahkan pengeboman sebuah kemudahan disyaki memproses kokain di Maracaibo, sebuah bandar di barat laut Venezuela, menurut berita Xinhua.

    Tapak itu, yang memanfaatkan lokasi pantai Maracaibo, dipercayai telah digunakan untuk memproses pes koka menjadi kokain, tulis Petro di X, menurut Xinhua.

    Menurut laporan berita itu, dia mencadangkan bahawa kemudahan itu dikendalikan oleh kumpulan gerila Tentera Pembebasan Nasional tanpa memberikan butiran lanjut.

    Menurut berita Xinhua, laporan mengatakan, Trump berkata pada Jumaat bahawa AS telah memusnahkan sebuah “kemudahan besar di sepanjang pantai” Venezuela pada minggu sebelumnya, tetapi tidak menyatakan kemudahan mana atau lokasinya yang tepat.

  • Thailand hantar balik 18 askar Kemboja yang ditahan

    Kementerian Luar Negeri Thailand mengeluarkan kenyataan pada Rabu, mengatakan Thailand telah menghantar pulang 18 askar Kemboja yang ditahan ke Kemboja, lapor Xinhua.

    Berita Xinhua juga memetik Agence Kampuchea Presse (AKP) yang dikendalikan oleh kerajaan Kemboja melaporkan Thailand pada Rabu membebaskan 18 askar Kemboja yang telah ditangkapnya sejak akhir Julai.

  • Nahas tren dekat Machu Picchu, pemandu terbunuh, berpuluh-puluh cedera

    Seorang pemandu tren terbunuh dan 40 lagi cedera pada Selasa selepas dua tren bertembung secara berdepan di landasan tren menuju ke kubu Inca di Machu Picchu, tapak pelancongan utama negara Andean itu yang menarik lebih 1 juta pengunjung setiap tahun, lapor Reuters.

    Menurut laporan berita itu, polis sedang menyiasat perlanggaran antara tren yang dikendalikan oleh Inca Rail S A dan PeruRail S A, yang kebanyakannya mengangkut pelancong ke tapak ikonik itu.

    Seorang pegawai kesihatan dilapor berkata, kira-kira 20 orang berada dalam keadaan yang agak serius.

    Menurut Reuters, seorang pegawai polis menambah bahawa pelancong asing adalah antara yang cedera.

    Gambar yang disiarkan di media sosial sejurus selepas nahas itu menunjukkan lokomotif yang rosak teruk berhadapan antara satu sama lain di landasan, pecahan kaca berselerak dan orang yang cedera dirawat di tepi landasan, lapor Reuters.

  • 41 anak muda meninggal dunia di Afrika Selatan akibat prosedur berkhatan semasa upacara inisiasi

    Sekurang-kurangnya 41 anak muda meninggal dunia akibat prosedur berkhatan sebagai sebahagian daripada aktiviti inisiasi tradisional di Afrika Selatan pada November dan Disember, kata pihak berkuasa pada Selasa, lapor AP.

    Inisiasi tradisional merupakan upacara peralihan ke arah kedewasaan untuk pemuda yang diamalkan setiap tahun oleh pelbagai kumpulan etika di Afrika, termasuk sebahagian Afrika Selatan. Antaranya ialah komuniti Xhosa, Ndebele, Sotho dan Venda.

    Secara tradisinya, pemuda diasingkan di sekolah inisiasi di mana mereka diajar nilai-nilai budaya dan tanggungjawab apabila mereka menjadi dewasa. Bahagian berkhatan dalam inisiasi mengakibatkan kematian sesetengah inisiat setiap tahun, memaksa kerajaan campur tangan melalui perundangan.

    Undang-undang memaksa sekolah inisiasi berdaftar dengan pihak berkuasa, tetapi ini tidak menghentikan percambahan sekolah inisiasi haram di mana banyak kematian dilaporkan.

    Ibu bapa dijangka membayar untuk anak-anak mereka diterima masuk ke sekolah inisiasi untuk tempoh yang ditetapkan, yang bagi sesetengah orang merupakan motivasi kewangan untuk memulakan sekolah inisiasi yang tidak berdaftar.

    Tempoh permulaan biasanya berlangsung semasa cuti sekolah musim sejuk (Jun-Julai) dan musim panas (November-Disember).

    Menurut laporan AP, Menteri Hal Ehwal Tradisional Afrika Selatan, Velenkosini Hlabisa memberitahu penyiar tempatan pada Selasa bahawa 41 orang inisiat meninggal dunia semasa permulaan musim panas tahun ini.

    Dia menyalahkan kecuaian pihak sekolah inisiat, termasuk yang berdaftar, dan ibu bapa kerana tidak mematuhi piawaian keselamatan dan nasihat perubatan.

    Hlabisa berkata, beberapa nasihat yang tidak terbukti sering diberikan kepada pemuda adalah untuk mengelakkan minum air bagi mempercepatkan penyembuhan.

    “Terdapat kecuaian dari segi memenuhi piawaian kesihatan di beberapa sekolah inisiat. Jika anda membawa anak anda ke sekolah inisiat, anda tidak pernah membuat susulan, anda tidak memantau, anda tidak pergi ke sana untuk melihat sama ada kanak-kanak itu minum air, anda meletakkan anak anda dalam risiko,” katanya.

    Wilayah Eastern Cape telah dikenal pasti sebagai tempat utama kematian inisiat, berjumlah 21 setakat ini, menurut laporan AP.

    Hlabisa berkata, 41 orang telah ditangkap berhubung sekolah inisiasi haram, termasuk ibu bapa yang memberikan umur yang salah untuk anak-anak mereka diterima masuk.

    Hanya kanak-kanak berumur 16 tahun ke atas yang boleh diterima masuk ke sekolah inisiasi dengan persetujuan ibu bapa, mengikut undang-undang Afrika Selatan.

    Inisiasi tradisional diamalkan secara meluas dalam komuniti Afrika, dengan kepulangan inisiat sering dicirikan oleh perayaan budaya yang menggembirakan.

  • 16 cedera apabila bas rempuh bangunan di Stockholm

    Seramai 16 orang cedera selepas sebuah bas merempuh bahagian hadapan sebuah bangunan di Liljeholmen, sebuah daerah di selatan Stockholm, pada petang Selasa, kata pihak berkuasa tempatan, menurut berita Xinhua.

    Menurut laporan berita itu, wilayah Stockholm berkata tujuh orang dibawa ke hospital, termasuk dua yang cedera parah, manakala sembilan yang lain mendapatkan rawatan di klinik rawatan segera berdekatan.

    Salah seorang yang cedera dilaporkan diterbangkan ke hospital dengan helikopter ambulans.

    Polis dilapor berkata, sejumlah 17 orang berada di dalam bas pada masa nahas. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan orang di luar bas, tambah polis.

    Kemalangan itu dilaporkan kepada polis pada jam 4:06 petang waktu tempatan dekat stesen trem. Perkhidmatan kecemasan, termasuk ambulans, kru penyelamat dan beberapa unit polis, telah dihantar ke tempat kejadian.

  • 3 pendaki ditemui mati di gunung California Selatan

    Tiga pendaki ditemui mati di Gunung Baldy, salah satu puncak tertinggi di California Selatan, kata pihak berkuasa pada Selasa, menurut berita Xinhua.

    Pasukan kecemasan mula mencari pendaki melalui darat dan udara pada pagi Isnin di kawasan pergunungan di sepanjang sempadan daerah San Bernardino dan Los Angeles, menurut siaran akhbar Jabatan Syerif Daerah San Bernardino.

    Penyelamat sedang memberi respons kepada permintaan untuk mencari seorang pendaki lelaki berusia 19 tahun yang cedera dekat denai sempit yang merentasi permatang timur puncak Gunung Baldy, kata siaran itu.

    Ia mengatakan pendaki itu dilaporkan jatuh kira-kira 500 kaki (152.4 meter), dan rakan serta teman pendakinya pergi ke kawasan yang mempunyai perkhidmatan selular dan menyediakan koordinat GPS untuk membantu penyelamat.

    “Semasa pencarian udara, deputi menemui pendaki yang cedera dan menemui dua individu tambahan berdekatan yang belum dikenal pasti,” kata siaran itu, sambil menambah bahawa disebabkan angin kencang, helikopter itu tidak dapat menyelesaikan penyelamatan dengan selamat.

    Pegawai berkata seorang petugas perubatan udara telah diturunkan ke lokasi kejadian dan mengesahkan bahawa ketiga-tiga individu terbabit telah meninggal dunia.

    Puncak itu, yang telah diselimuti salji oleh ribut musim sejuk, menjulang setinggi 3,068 meter dan merupakan titik tertinggi di kawasan metropolitan Greater Los Angeles.

  • 6 maut dalam kemalangan jalan raya di selatan Brazil

    Enam ahli keluarga yang sama, termasuk dua bayi, terbunuh awal Isnin dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan sebuah trak di negeri Parana, selatan Brazil, lapor berita Xinhua memetik media tempatan, memetik jabatan bomba.

    Kemalangan itu berlaku di lebuh raya negeri PR-170 di perbandaran Rolandia di utara Parana, dekat Argentina dan Paraguay, ketika keluarga itu dalam perjalanan pulang dari pantai, menurut rangkaian berita Globo.

    Trak yang terlibat dalam perjalanan dari perbandaran Birigui di tenggara negeri Sao Paulo ke perbandaran Mandaguari, Parana.

    Mangsa adalah pasangan suami isteri dan tiga anak mereka membabitkan seorang remaja dan bayi kembar, serta seorang anak saudara yang dalam perjalanan bersama keluarga terbabit.

  • Tag alkohol jejaki beribu-ribu pesalah sepanjang Tahun Baharu di England, Wales

    Beribu-ribu pesalah di England dan Wales dipantau pengambilan alkohol mereka sepanjang tempoh perayaan Tahun Baru menggunakan tag elektronik yang mengesan tahap alkohol melalui peluh pemakai, lapor Anadolu.

    Kira-kira 5,000 orang yang dibebaskan dari penjara atau menjalani hukuman komuniti kini memakai tag tersebut, menurut kenyataan kerajaan UK pada Selasa.

    Tujuannya adalah untuk memastikan pesalah tidak mabuk semasa tempoh yang secara tradisinya dikaitkan dengan tahap penggunaan alkohol lebih tinggi dan untuk mengurangkan kesalahan berulang yang berkaitan dengan minuman.

    Teknologi ini beroperasi secara berterusan, 24 jam sehari. Jika alkohol dikesan, amaran akan dihantar secara automatik kepada pegawai percubaan, yang boleh mengambil tindakan daripada mengarahkan pesalah kembali ke mahkamah hinggalah mengembalikan mereka ke penjara.

    Menurut Anadolu, Timbalan Perdana Menteri David Lammy berkata dalam satu kenyataan: “Jenayah yang didorong oleh alkohol menyebabkan kemudaratan sebenar kepada mangsa dan komuniti, dan menimbulkan tekanan tambahan kepada perkhidmatan kecemasan kita. Menanganinya secara langsung adalah penting untuk menjadikan jalan-jalan kita lebih selamat.

    “Tag ini bertindak sebagai peringatan fizikal dan berterusan kepada pesalah bahawa tiada ruang untuk kesilapan – satu minuman dan mereka boleh kembali ke mahkamah atau di sebalik jeriji besi.”

    Menurut bukti kerajaan, pesalah yang dilarang minum alkohol kekal tidak mabuk alkohol pada 97% hari mereka ditag.

    Pegawai mengatakan tag tersebut cukup canggih untuk membezakan antara makanan yang mengandungi sedikit alkohol—seperti pai cincang—dan minuman beralkohol yang boleh menyebabkan mabuk.

    Penyelidikan berasingan juga telah mengetengahkan potensi kesan pemantauan elektronik secara lebih meluas.

    Satu kajian yang diterbitkan pada Ogos mendapati bahawa pencuri dan perompak yang dipasang dengan tag penjejakan GPS sebagai sebahagian daripada skim perintis adalah kira-kira 20% kurang berkemungkinan untuk melakukan kesalahan semula.

    Pengurangan yang serupa direkodkan dalam kalangan pesalah yang memakai tag perintah berkurung yang menyekat mereka ke rumah mereka pada waktu-waktu tertentu.

  • UAE umum penamatan kehadiran ketenteraannya di Yaman

    Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan penamatan kehadiran ketenteraannya di Yaman pada Selasa di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di selatan negara itu, lapor Anadolu.

    “Memandangkan perkembangan terkini dan implikasi yang berpotensi terhadap keselamatan dan keberkesanan tugas-tugas anti-keganasan, Kementerian Pertahanan mengumumkan penamatan baki pasukan anti-keganasan di Yaman atas kehendaknya sendiri, dengan cara yang memastikan keselamatan kakitangannya, dan dengan penyelarasan dengan rakan kongsi yang berkenaan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, lapor Anadolu.

    Kementerian itu berkata UAE telah menjadi ahli gabungan Arab yang diketuai Saudi sejak 2015 “untuk menyokong legitimasi di Yaman, untuk menyokong usaha antarabangsa bagi memerangi organisasi pengganas, dan untuk membantu mencapai keselamatan dan kestabilan di negara persaudaraan Yaman.”

    Ia menekankan bahawa pasukan Emiriah “membuat pengorbanan besar untuk mencapai matlamat ini”.

    Laporan Anadolu menyebutkan, menurut kenyataan itu, pasukan UAE menamatkan kehadiran ketenteraan mereka di Yaman pada 2019 selepas menyelesaikan tugas yang ditetapkan “dalam rangka kerja rasmi yang dipersetujui” manakala apa yang tinggal selepas itu “terhad kepada pasukan khusus dalam usaha anti-keganasan dan dengan penyelarasan dengan rakan kongsi antarabangsa yang berkaitan”.

    Abdulla Mohammed Butti Al Hamed, pengerusi Pejabat Media Kebangsaan UAE, dilapor berkata pendekatan Abu Dhabi dipandu oleh “kebijaksanaan dan bukannya emosi” sambil menekankan bahawa hubungan dengan Arab Saudi “berakar umbi dalam darah, pengorbanan bersama, dan masa depan bersama”.

    “Apa yang mengikat kita dengan Kerajaan Arab Saudi melangkaui geografi dan politik; ia adalah darah yang bercampur di medan perang, sejarah yang ditulis dalam pengorbanan, dan masa depan kita bayangkan hanya bersama,” katanya.

    Dia menolak sebarang percubaan untuk menggambarkan UAE sebagai pencetus konflik, dengan mengatakan dakwaan sedemikian “tidak selaras dengan realiti di lapangan”.

    “Mereka yang menghadapi keganasan, Houthi, Al-Qaeda dan Ikhwanul Muslimin secara berganding bahu dengan saudara-saudara mereka tidak boleh secara serentak menjadi orang yang mencetuskan konflik yang mengancam sempadan saudara-saudara tersebut,” tambahnya.

    Dia menekankan bahawa fasa semasa memerlukan “kebijaksanaan dan kekangan” sambil memberi amaran bahawa mengganggu pakatan strategik antara Abu Dhabi dan Riyadh akan menjadi “hadiah percuma kepada musuh kestabilan”.

    Pengerusi Majlis Kepimpinan Presiden Yaman, Rashad al-Alimi, membatalkan pakatan pertahanan bersama dengan UAE awal Selasa dan memberikan tarikh akhir 24 jam untuk pasukan UAE berundur. Dia juga mengisytiharkan darurat selama 90 hari, bersama-sama dengan larangan udara dan darat selama 72 jam di semua pelabuhan dan lintasan sempadan.

    Langkah itu diambil sejurus selepas gabungan pimpinan Arab Saudi di Yaman melancarkan serangan udara “terhad” yang menyasarkan dua kapal yang dikaitkan dengan UAE di pelabuhan Mukalla di Yaman.

    Serangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat sejak Majlis Peralihan Selatan (STC) menawan wilayah timur Hadramaut dan Al-Mahra awal bulan ini selepas pertempuran dengan pasukan kerajaan.