• Hamas kata mayat tebusan Israel ditemui dari tengah Jalur Gaza

    Sumber Hamas berkata pada Isnin bahawa mayat seorang tebusan Israel telah ditemui dari tengah Jalur Gaza, lapor Xinhua.

    Sumber itu, yang tidak mahu namanya disiarkan, dilapor memberitahu Xinhua bahawa mayat ditemui semasa operasi mencari yang dijalankan sejak dua hari lalu di utara kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.

    Menurut sumber itu, operasi itu melibatkan anggota Briged al-Quds, sayap tentera gerakan Jihad Islamik Palestin, bersama pasukan dari Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

    Sumber itu dilapor berkata, bahawa mayat itu ditahan oleh Briged al-Quds dan dijadualkan diserahkan kepada ICRC, yang kemudiannya akan memindahkannya kepada tentera Israel pada hari itu, walaupun tiada masa khusus diberikan.

    Jika mayat itu diserahkan, hanya dua mayat tebusan Israel yang masih di enklaf pantai itu, menurut pengiraan Palestin dan Israel, Xinhua melaporkan.

    Jurucakap Hamas, Hazem Qassem dilapor berkata bahawa pencarian untuk tebusan Israel yang tinggal diteruskan walaupun menghadapi kesukaran dan kerumitan.

    Qassem menggesa pengantara untuk menekan Israel supaya mematuhi perjanjian gencatan senjata, termasuk membuka semula lintasan Rafah, dan beralih ke fasa kedua perjanjian itu.

    Menurutnya, delegasi Hamas kini berada di Kaherah terlibat dengan pengantara gencatan senjata, menunjukkan keseriusannya dalam memajukan fasa seterusnya.

    Qassem juga memberi amaran bahawa pencabulan oleh Israel boleh menjejaskan perjanjian gencatan senjata, kebimbangan yang Hamas telah jelaskan kepada pengantara semasa rundingan Kaherah.

  • 4 terbunuh, 13 cedera dalam serangan dron di Kharkiv Ukraine

    Dron Rusia melanda dua daerah di Kharkiv, bandar kedua terbesar Ukraine, lewat Ahad, mengorbankan empat orang dan mencederakan 13 yang lain, kata gabenor wilayah Oleg Synegubov pada Isnin di Telegram, Xinhua melaporkan.

    Menurut Synegubov, mangsa di bandar Kharkiv adalah wanita berusia 27, 41 dan 69 tahun, dan seorang lelaki berusia 55 tahun.
    Antara 13 yang dilaporkan cedera ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang budak lelaki berusia 12 tahun.

    Tentera Rusia menyasarkan daerah Shevchenkivskyi dan Saltivskyi dengan 15 dron, dia dilapor berkata.

  • Dron tentera AS terhempas di luar pantai Gunsan, Korea Selatan

    Dron MQ-9 Amerika Syarikat (AS) yang dikerahkan di Korea Selatan terhempas di luar pantai Gunsan, kira-kira 180 km ke selatan ibu kota Seoul pada Isnin, Xinhua memetik laporan akhbar tempatan Chosun Ilbo.

    Menurut laporan itu, Sayap Pejuang Ke-8 di bawah Tentera Udara ke-7 AS di Korea Selatan berkata MQ-9, sebahagian daripada Skuadron Peninjau Ekspedisi ke-431 yang ditempatkan di Pangkalan Udara Gunsan, mengalami kemalangan pada 4:35 pagi waktu tempatan dekat pantai Gunsan City, ketika menjalani misi rutin.

    Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda, dan punca kemalangan sedang disiasat, kata laporan itu.

    MQ-9 pertama kali ditempatkan secara tetap ke unit yang ditempatkan di Semenanjung Korea pada September, kata laporan itu.

  • Angka kematian meningkat di Asia Tenggara ketika hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh

    Angka kematian dalam banjir dan tanah runtuh yang berleluasa akibat hujan lebat di Asia Tenggara meningkat pada Isnin dengan seorang lagi dilaporkan maut di Vietnam, dan lima di Thailand, lapor AP.

    Jumlah kematian yang disahkan di Vietnam kini 91, dengan 11 yang lain hilang kerana hujan lebat yang bermula seminggu lalu telah menyebabkan banjir teruk dan mencetuskan tanah runtuh dari Quang Tri ke wilayah Lam Dong, di wilayah tengah negara itu, termasuk tanah tinggi.

    Di Dak Lak, wilayah yang paling teruk dilanda, 63 orang terbunuh, kebanyakannya akibat lemas. Kematian lain adalah dari wilayah Khanh Hoa, Lam Dong, Gia Lai, Danang, Hue dan Quang Tri, menurut AP.

    Dengan jalan raya yang dihanyutkan di banyak kawasan, helikopter telah dikerahkan untuk menggugurkan bekalan makanan dan bantuan serta membantu dalam memindahkan orang ramai.

    Vietnam adalah antara negara yang paling terdedah kepada banjir di dunia, dengan hampir separuh penduduknya tinggal di kawasan berisiko tinggi. Para saintis memberi amaran bahawa iklim yang semakin panas sedang meningkatkan ribut dan hujan di seluruh Asia Tenggara, menjadikan banjir dan tanah runtuh semakin merosakkan dan kerap, menurut laporan AP.

    Di Thailand, hujan lebat di selatan negara itu menyebabkan banjir teruk pada hujung minggu, dilaporkan menjejaskan hampir 2 juta orang.

    Lima terbunuh dan empat cedera di enam wilayah selatan, menurut pegawai kesihatan wilayah, lapor AP.

    Sepuluh wilayah selatan dilapor dilanda hujan lebat sejak minggu lalu, dan pegawai memberi amaran pada Isnin, paras air dijangka terus meningkat dengan hujan dijangka berterusan hingga Selasa.

    Bandar Hat Yai, hab ekonomi utama di wilayah Songkhla, dilanda hujan setinggi 335 milimeter (lebih 13 inci) pada Jumaat, angka 24 jam tertinggi dalam 300 tahun, kata pegawai, menurut laporan AP.

    Dari Rabu hingga Jumaat, bandar itu dilaporkan menyaksikan hujan setinggi 630 milimeter (hampir 25 inci), menyukarkan usaha pemindahan apabila beratus-ratus penduduk dan pelancong terperangkap di dalam rumah dan hotel akibat air yang semakin meningkat yang memaksa kru kecemasan menggunakan bot penyelamat untuk mengangkut orang ramai di sepanjang jalan dinaiki air.

    Malaysia juga sedang bergelut dengan banjir di beberapa negeri yang dijangka bertambah buruk apabila hujan lebat dan berterusan.

  • Gunung berapi meletus di utara Ethiopia, menghantar kepulan abu ke arah Yaman dan Oman

    Gunung berapi yang lama tidak aktif meletus di utara Ethiopia pada hujung minggu, menghantar kepulan abu merentasi Laut Merah ke arah Yaman dan Oman, lapor AP.

    Gunung berapi Hayli Gubbi di wilayah Afar di Ethiopia dilapor meletus pada pagi Ahad, menyebabkan kampung jiran Afdera diselaputi debu.

    Seorang pentadbir tempatan, Mohammed Seid, dilapor berkata tiada kemalangan jiwa berlaku, namun letusan itu boleh memberi implikasi ekonomi kepada komuniti penggembala ternakan tempatan.

    Seid dilapor memberitahu The Associated Press (AP) bahawa tidak ada rekod sebelumnya mengenai letusan oleh gunung berapi Hayli Gubbi, dan dia bimbang dengan mata pencarian penduduk.

    “Walaupun tiada nyawa manusia dan haiwan ternakan terkorban setakat ini, banyak kampung telah diselaputi abu dan akibatnya haiwan mereka kurang makan,” dia dilapor berkata.

    Menurut AP, Pusat Nasihat Abu Gunung Berapi Toulouse di Perancis juga melaporkan letusan itu, yang diperhatikan pada imej satelit.

    Menurut AP, wilayah Afar terdedah kepada gempa bumi dan seorang penduduk, Ahmed Abdela, berkata dia mendengar bunyi kuat dan apa yang disifatkannya sebagai gelombang kejutan.

    “Rasanya seperti bom tiba-tiba dilemparkan dengan asap dan abu,” dia dilapor berkata.

    Kampung berhampiran padang pasir Danakil, yang menjadi tarikan pelancong, masih diselaputi abu pada Isnin dan pelancong serta pemandu yang menuju ke padang pasir itu terkandas di kampung itu, menurut Abdela.

  • 14 orang terbunuh dekat ibu negara Congo ketika keganasan berhubung tanah semakin meningkat

    Serangan ke atas sebuah perkampungan di barat Congo menyebabkan 14 orang maut, kata seorang pegawai tentera pada Isnin, ketika keganasan terhadap pemilikan tanah antara komuniti saingan semakin meningkat, lapor AP.

    Serangan berlaku pada awal pagi Ahad di perkampungan Nkana, kira-kira 75 kilometer (47 batu) timur laut Kinshasa, ibu negara, Kapten Antony Mualushayi, jurucakap tentera di kawasan itu, dilapor berkata dalam satu kenyataan.

    Penyerang, bersenjatakan senapang dan parang, berbalas tembakan dengan beberapa askar yang ditempatkan di kampung itu, Mualushayi dilapor berkata.

    “Ketika berundur, pemberontak membunuh 13 orang awam, termasuk tiga kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, dan membakar beberapa rumah,” kenyataan itu, sambil menambah seorang askar turut meninggal dunia, lapor AP.

    Nkana berada di wilayah Kwamouth, di mana konflik telah melanda selama tiga tahun antara komuniti Teke dan Yaka.

    Tentera dilapor berkata, penyerang itu bersama militia Mobondo, sebuah kumpulan yang menunjukkan dirinya sebagai pembela orang Yaka.

    Pergaduhan berhubung tanah dan tuntutan adat meletus pada Jun 2022, mengadukan apa yang dipanggil “peribumi” (native) dengan komuniti “bukan peribumi” (non-native), menurut kumpulan advokasi Human Rights Watch, lapor AP.

  • 3 maut di Korea Selatan, 1 di Jepun dalam kemalangan membabitkan pejalan kaki

    Tiga orang terbunuh dan 10 yang lain cedera selepas sebuah van melanggar pejalan kaki dan merempuh tiang papan tanda di sebuah pulau di luar wilayah Jeju, Korea Selatan, lapor Anadolu.

    Seorang wanita di dalam kenderaan dan dua pejalan kaki disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital berdekatan, Anadolu memetik Yonhap News yang berpangkalan di Seoul.

    Pemandu dan sembilan yang lain dirawat kerana cedera ringan.

    Manakala di Jepun, seorang maut dan 10 lagi cedera pada Isnin selepas sebuah kereta merempuh pejalan kaki di tengah Tokyo.

    Seorang lelaki berusia 80 tahun maut dalam kejadian itu, yang sedang disiasat polis sebagai langgar lari melibatkan kenderaan curi, Anadolu memetik laporan Kyodo News yang berpangkalan di Tokyo. Pegawai sedang menyoal seorang lelaki yang dipercayai memandu kereta itu.

    Polis dilapor berkata kenderaan itu memasuki persimpangan di lampu merah, membelok ke kaki lima dan melanggar pagar dengan rempuhan kuat.

    Pemandu itu melarikan diri dari tempat kejadian dengan berjalan kaki selepas perlanggaran, kata pihak berkuasa.

  • Ramai berpindah selepas pengganas culik 13 remaja di komuniti Borno

    Gelombang ketakutan melanda komuniti Borno, dan ramai yang mula meninggalkan rumah mereka pada Isnin, sehari selepas puak Boko Haram, ISWAP, menculik 13 remaja perempuan, berumur 15 hingga 20, ketika mereka bekerja di sebuah ladang di daerah Mussa, Kawasan Kerajaan Tempatan Askira/Uba, Anadolu melaporkan.

    Menurut laporan tempatan, gadis-gadis itu sedang menuai tanaman di tanah ladang mereka pada Ahad apabila penyerang bersenjata menyerang. Seorang daripada mangsa melepaskan diri dan bertemu semula dengan keluarganya, manakala baki 12 kanak-kanak perempuan masih hilang.

    Daerah itu telah dikosongkan, dengan keluarga melarikan diri pada awal minggu.
    Masyarakat yang sudah digemparkan dengan pembunuhan lima pengawal minggu lalu, kini tegang apabila penduduk menunggu berita mengenai gadis yang diculik.

    Sumber dilapor berkata, kebanyakan isi rumah telah berpindah ke kawasan yang lebih selamat, sambil menambah bahawa insiden itu memperbaharui kebimbangan terhadap kelemahan masyarakat luar bandar kepada kumpulan bersenjata.

    Menurut Anadolu, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Borno, Abdullahi Askira, mengesahkan penculikan itu dan menggesa penduduk berkongsi maklumat tepat pada masanya dengan agensi keselamatan mengenai pergerakan pengganas yang disyaki.

    Junaid Jibrin, pembantu media Senator Ali Ndume, berkata yang melepaskan diri itu telah bersatu semula dengan keluarganya dan membantu pihak berkuasa dengan risikan, menurut Anadolu.

    “Menurut maklumat yang ada, gadis-gadis itu diculik semasa menuai. Nasib baik, salah seorang daripada gadis yang diculik berjaya melepaskan diri dan telah pulang dengan selamat. Dia kini sedang membantu pegawai dan ahli keluarga dengan maklumat penting mengenai kejadian itu,” Jibrin dilapor berkata.

    Dalam perkembangan berasingan, Presiden Bola Ahmed Tinubu telah mengarahkan penarikan balik pegawai polis yang ditugaskan untuk perlindungan VIP supaya mereka boleh kembali ke tugas teras kepolisan, lapor Anadolu.

    Bayo Onanuga, penasihat khas mengenai maklumat dan strategi, dilapor mengumumkan arahan itu pada Ahad dan berkata keputusan itu susulan mesyuarat keselamatan yang dihadiri polis, tentera udara, ketua tentera dan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Negara, di Abuja.

    Di bawah dasar baharu itu, VIP yang memerlukan keselamatan kini akan meminta kakitangan bersenjata lengkap daripada Kor Keselamatan dan Pertahanan Awam Nigeria.

    Presiden juga dilaporkan meluluskan pengambilan 30,000 pegawai polis baharu dan menaik taraf kemudahan latihan.

  • 4 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di seluruh Gaza – sumber

    Empat rakyat Palestin terbunuh pada Isnin dalam serangan Israel di seluruh Jalur Gaza, kata sumber perubatan Palestin, Xinhua melaporkan.

    Dua rakyat Palestin maut akibat tembakan meriam Israel dekat apa yang dipanggil “garisan kuning” yang menandakan kawasan di bawah kawalan Israel, di kejiranan al-Shaaf, timur Kota Gaza, Xinhua memetik sumber.

    Menurut Xinhua, mereka menambah bahawa seorang lagi rakyat Palestin terbunuh dan dua lagi cedera dalam serangan dron Israel di timur Khan Younis di selatan, manakala orang keempat terbunuh dalam serangan udara di pekan Bani Suheila, juga di timur Khan Younis.

    Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilapor berkata dalam satu kenyataan bahawa ia menyerang tiga “pengganas” selepas mengenal pasti mereka melintasi “garisan kuning” dan mendekati tentera Israel di kawasan Khan Younis, mendakwa mereka menimbulkan “ancaman segera”.

    Dalam pada itu, sumber keselamatan Palestin dilapor berkata tentera Israel meneruskan tembakan meriam dan letupan bom kereta di kawasan kejiranan Tuffah di Bandar Gaza, dan melakukan serangan udara di Rafah di selatan.

    Walaupun serangan udara intensif sebahagian besarnya telah dihentikan sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, kematian terus dilaporkan akibat keganasan berkala, lapor Xinhua.

  • Perkhidmatan keselamatan Rusia gagalkan percubaan sabotaj kereta api, bunuh 2

    Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) Rusia berkata ia menggagalkan percubaan sabotaj kereta api di Wilayah Altai dan membunuh dua pelaku yang melepaskan tembakan semasa penahanan mereka, Xinhua memetik laporan agensi berita TASS pada Isnin.

    Menurut Pusat Perhubungan Awam FSB, kedua-dua penduduk tempatan itu sedang menyediakan serangan ke atas infrastruktur kereta api di bawah penyelarasan perkhidmatan khas Ukraine dan ahli organisasi yang diharamkan di Rusia.

    Insiden itu berlaku pada Sabtu di bahagian kereta api di antara stesen Altayskaya dan Biysk, di mana kedua-dua lelaki itu cuba memasang apa yang dipanggil peranti tergelincir di landasan yang digunakan secara intensif oleh kedua-dua kereta api pengangkutan dan penumpang, kata FSB.

    FSB mengeluarkan video yang menunjukkan pelaku melakukan peninjauan di tapak serangan yang dirancang dan tiba dengan sebuah SUV sebelum menghampiri landasan di bawah jambatan kereta api.

    Video itu kemudian menunjukkan pegawai keselamatan tiba, bersurai di sekitar kenderaan penjenayah, dan membalas tembakan selepas lelaki itu menembak mereka. Ia juga memaparkan kerosakan peluru pada kenderaan FSB, mayat kedua-dua suspek dengan senjata berdekatan, dan peluru ditemui di dalam kereta mereka.
    Beberapa sudut alat tergelincir yang dirancang dipasang oleh pelaku juga ditunjukkan.

  • China akan sediakan bantuan tunai kepada Vietnam dilanda banjir

    Jurucakap kementerian luar China berkata pada Isnin, China akan menyediakan bantuan tunai kepada Vietnam yang dilanda banjir, lapor Xinhua.

    Jurucakap Mao Ning dilapor memberitahu taklimat berita harian, China menyedari bahawa baru-baru ini banyak kawasan di Vietnam telah mengalami kemalangan jiwa dan kerugian harta benda akibat taufan dan bencana banjir.

    Atas pertimbangan kemanusiaan dan semangat persahabatan terhadap rakyat Vietnam, China akan menyediakan bantuan tunai, Mao dilapor berkata.

  • Paras banjir di selatan Thai masih meningkat

    Banjir teruk berterusan dan lebih dalam di kebanyakan 10 wilayah selatan yang terjejas pada Isnin, lapor Bangkok Post, dengan hujan lebat diramalkan berterusan di wilayah itu hingga Selasa.

    Menurut Bangkok Post, Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana melaporkan pada pagi Isnin bahawa banjir berterusan di 10 wilayah selatan dan paras air terus meningkat di kebanyakannya.

    Banjir di 10 wilayah dilaporkan di:

    1. Surat Thani: Daerah Tha Chang, Kanchanadit dan Khian Sa.
    2. Krabi: Khao Phanom.
    3. Nakhon Si Thammarat: Cha-uat, Muang, Tha Sala, Phrommakhiri, Ron Phibun, Na Bon, Sichon, Chawang, Thung Song, Chalerm Prakiat, Hua Sai, Lan Saka, Bang Khan, Phra Phrom, Chang Klang, Pak Phanang, Chulabhorn, Nop Phi Tam, Thung Yai, Phipun, Chian Yai dan Tham Phan Yai
    4. Trang: Na Yong, Huai Yot, Ratsada, Yan Ta Khao, Wang Wiset, Kantang, Muang, Sikao dan Palian.
    5. Phatthalung: Muang, Khuan Khanun, Kong Ra, Khao Chaison, Sri Nakarin, Bang Kaew, Pa Bon, Pak Phayun, Sri Banphot, Pa Phayom dan Tamot.
    6. Satun: Khuan Don, Langu, Tha Phae, Manang, Khuan Ka Long, Muang dan Thung Wa.
    7. Songkhla: Rattaphum, Muang, Chana, Khlong Hoi Khong, Ranot, Krasae Sin, Sathing Phra, Hat Yai, Khuan Niang, Na Thawi, Singha Nakhon, Na Mom, Bang Klam, Sadao, Thepha dan Saba Yoi.
    8. Pattani: Sai Buri, Mae Lan, Khok Pho, Mayo, Yarang, Mai Kaen, Yaring, Panare, Thung Yang Daeng, Kapho, Nong Chik dan Muang.
    9. Yala: Muang, Raman, Betong dan Bannang Sata.
    10. Narathiwat: Bacho, Yi-ngo, Muang, Rangae, Tak Bai, Sungai Padi dan Sri Sakhon

    Dilaporkan, paras banjir di wilayah selatan meningkat kecuali di Surat Thani dan Krabi, di mana banjir telah surut. Kawasan banjir meluas di Narathiwat dan Yala.

    Jumlah tertinggi isi rumah terjejas dilaporkan di Songkhla (243,568), diikuti Nakhon Si Thammarat (210,950).

    Menurut Bangkok Post, Jabatan Meteorologi berkata hujan lebat akan berterusan di bahagian bawah Selatan hingga Selasa.

  • 3 terbunuh, 5 cedera dalam serangan di ibu pejabat pasukan persekutuan di Peshawar Pakistan

    Sekurang-kurangnya tiga anggota keselamatan terbunuh dan lima lagi cedera pada pagi Isnin dalam serangan di ibu pejabat Konstabulari Persekutuan di barat laut Pakistan, ibu kota wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Peshawar, kata polis, Xinhua melaporkan.

    Inspektor Jeneral Polis (ketua polis) di Khyber Pakhtunkhwa Zulfiqar Hameed dilapor memberitahu media bahawa seorang pengebom berani mati meletupkan jaketnya di pintu pagar utama ibu pejabat Federal Konstabulari, yang dahulunya dikenali sebagai Frontier Konstabulari.

    Susulan serangan itu, dua pengganas memasuki kawasan awal ibu pejabat, tetapi pengawal yang bertugas menembak mati kedua-dua pengganas di tempat kejadian, ketua polis dilapor berkata.

    Ketua polis dilapor berkata, salah seorang daripada dua pengganas yang terbunuh adalah pengebom berani mati, dan jaket sarat bahan letupannya meletup selepas tembakan.

    Saksi mata dilapor memberitahu Xinhua bahawa mereka mendengar tembakan sengit selepas dua letupan berlaku di kawasan itu.

    Polis, pasukan keselamatan dan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi dan memindahkan mangsa yang cedera ke hospital berdekatan.

    Polis telah menyekat jalan menuju ke kawasan itu dan meminta rakyat berwaspada dan mengelak daripada melakukan perjalanan yang tidak perlu di wilayah itu.

  • 2 maut dalam kemalangan bas-motosikal di ibu negara Vietnam

    Kemalangan jalan raya di sebuah jambatan di ibu negara Vietnam, Hanoi meragut dua nyawa pada malam Ahad, Xinhua memetik laporan Agensi Berita Vietnam pada Isnin.

    Sebuah bas penumpang hilang kawalan dan berlanggar dengan sebuah motosikal yang dalam perjalanan ke arah sama menyebabkan dua di atas motosikal itu maut serta-merta. Bas itu kemudian merempuh pagar penghadang jambatan dan terbakar.

  • Presiden Nigeria sahkan kepulangan 89 mangsa culik

    Presiden Nigeria Bola Tinubu pada Ahad mengesahkan penyelamatan dan pemulihan sekurang-kurangnya 89 mangsa yang diculik awal minggu lalu di wilayah tengah negara itu, lapor Xinhua.

    Mangsa yang mendapat semula kebebasan termasuk 38 penganut yang diculik semasa perkhidmatan gereja di Eruku, Negeri Kwara, dan sekurang-kurangnya 51 pelajar terperangkap dalam serangan sekolah di Niger pada Jumaat, Tinubu dilapor berkata dalam satu kenyataan di X rasminya.

  • Sekurang-kurangnya 5 terbunuh, 25 cedera dalam serangan Israel di Beirut

    Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 25 yang lain cedera pada Ahad dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah apartmen kediaman di Haret Hreik, pinggir selatan Beirut, Xinhua memetik laporan Kementerian Kesihatan Lubnan.

    Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilapor mengesahkan serangan itu, berkata ia cuba membunuh Haytham Ali Tabatabai, yang Netanyahu sifatkan sebagai ketua de facto kakitangan Hizbullah yang “mengetuai pembinaan pasukan dan usaha persenjataan”.

    “Israel berazam untuk meneruskan objektifnya di mana-mana dan pada bila-bila masa,” Netanyahu dilapor berkata.

    Israel mahupun Hizbullah tidak menyebut sama ada Tabatabai terbunuh dalam serangan itu.

    Xinhua melaporkan, menurut saluran TV Al-Jadeed Lubnan, serangan itu juga menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan dan kereta yang diparkir di kawasan kejiranan yang padat penduduknya.

    Hizbullah dilapor berkata, kawasan itu tidak mengandungi pusat tentera.

    Berikutan serangan itu, pesawat perang Israel terus terbang rendah merentasi wilayah Dahieh di pinggir selatan.

    Sebelumnya, Netanyahu dilapor memberitahu mesyuarat kabinet mingguan bahawa Israel “akan terus melakukan apa sahaja yang perlu untuk menghalang Hizbullah daripada mewujudkan semula keupayaannya” untuk mengancam Israel.

    Menurut laporan Xinhua, presiden Lubnan Joseph Aoun mengecam serangan itu, menyifatkannya sebagai “satu lagi tanda tidak mengendahkan gesaan berulang kali untuk menghentikan serangan dan melaksanakan resolusi antarabangsa”.

    Dia menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas untuk menghentikan serangan, mencegah ketegangan serantau, dan mengelakkan pertumpahan darah lebih lanjut.

    Dalam perkembangan berasingan, menurut Xinhua, Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan melaporkan, serangan dron Israel pada awal hari menyasarkan sebuah kereta di perkampungan Aita al-Shaab di daerah Bint Jbeil di selatan Lubnan mengorbankan seorang.

    Sumber keselamatan Lubnan dilapor memberitahu Xinhua bahawa yang maut adalah anggota Hizbullah bernama Mohammad Saleh.

  • Sekurang-kurangnya 50 murid yang diculik dari sekolah Katolik Nigeria melarikan diri, kata gereja

    Lima puluh daripada lebih 300 pelajar yang diculik dari sekolah Katolik Nigeria minggu lalu telah melarikan diri, kata Persatuan Kristian Nigeria (CAN) pada Ahad, berita Reuters melaporkan.

    Murid-murid itu melarikan diri antara Jumaat dan Sabtu dan sejak itu telah bersatu semula dengan ibu bapa mereka, pengerusi CAN Bulus Yohanna dilapor berkata dalam satu kenyataan.

    Kira-kira 253 kanak-kanak, termasuk 12 kakitangan, masih bersama penculik, tambah Yohanna, seorang Uskup Katolik yang juga pemilik sekolah itu, lapor Reuters.

    Lelaki bersenjata menculik pelajar dan guru dari sekolah St. Mary di barat laut negara itu pada Jumaat, yang terbaru dalam beberapa serangan sekolah minggu ini yang telah memaksa kerajaan menutup 47 kolej.

    Pope Leo dilapor merayu pada Ahad agar membebaskan segera kanak-kanak dan kakitangan yang diculik, salah satu penculikan beramai-ramai yang paling teruk pernah direkodkan di sana.

    “Saya membuat rayuan ikhlas untuk pembebasan segera tebusan,” Pope Leo dilapor berkata pada akhir misa di Dataran St Peter di Rom.

  • Banjir 5 negeri di Malaysia semakin serius, mangsa dipindahkan kini 8,895 orang

    Jumlah mangsa banjir membabitkan lima negeri di Malaysia terus meningkat kepada 8,895 orang membabitkan 3,162 keluarga, menurut laporan BH Online.

    Menurut portal berita itu, semua mangsa kini ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di semua negeri terbabit setakat jam 8 malam ini.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dilapor berkata, Kelantan merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 7,695 orang daripada 2,810 keluarga dengan 31 PPS dibuka di empat daerah.

    Di Kedah dilaporkan 404 mangsa daripada 122 keluarga kini berlindung di tiga PPS, manakala di Terengganu dilaporkan 361 mangsa membabitkan 108 keluarga ditempatkan di dua PPS.

    Di Perlis dilaporkan 307 mangsa daripada 92 keluarga yang ditempatkan di dua PPS dan di Pulau Pinang, dilaporkan negeri terbaru terkesan banjir merekodkan 128 mangsa membabitkan 30 keluarga, dipindahkan di dua PPS.

  • Israel serang pinggir selatan Beirut

    Pesawat perang Israel pada Ahad menyerang sebuah apartmen kediaman di Haret Hreik, pinggir selatan Beirut, mengakibatkan terbunuh atau cedera (casualities), Xinhua memetik laporan saluran TV al-Manar Lubnan.

    Tentera Israel dilaporkan mengesahkan serangannya ke atas Beirut, berkata ia menyasarkan anggota “utama” Hizbullah.

  • Banjir menyebabkan lebih 5,000 orang berpindah di pantai timur Malaysia

    Banjir menyebabkan lebih 5,000 orang berpindah di Malaysia, dengan kawasan paling teruk dilanda banjir adalah Kelantan, menurut pihak berkuasa pada Ahad, lapor Xinhua.

    Kelantan, yang mengalami hujan lebat berterusan sejak beberapa hari, merekodkan 5,142 mangsa banjir, yang ditempatkan di 26 pusat pemindahan banjir, menurut Xinhua.

    Negeri jiran Terengganu merekodkan 528 mangsa dipindahkan setakat jam 3 petang waktu tempatan, menurut jabatan kebajikan masyarakat negara itu, lapor Xinhua.

    Jabatan meteorologi dilaporkan telah mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan dan angin kencang.